Selasa, 29 Disember 2015 | 2:20pm

2 cedera kemalangan babitkan lima kenderaan

IPOH: Dua lelaki, termasuk seorang pemandu teksi, parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di simpang tiga lampu isyarat Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, pemandu teksi berusia 33 tahun cedera parah di dada dan pinggang, manakala pemandu kereta Mercedez Bens berusia 49 tahun cedera ringan selepas kenderaan mereka bertembung.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata ketika kejadian, pemandu Mercedez Benz yang dalam perjalanan dari Simpang Empat ke Medan Gopeng merempuh teksi dan PROTON Gen 2 di bahagian hadapan ketika lampu isyarat hijau.

"Mercedes Benz terbabit juga melanggar tiang lampu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), manakala pemandu teksi berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua kereta jenis Honda Accord dan Toyota Vios serta sebuah motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.

"Pemandu teksi dan pemandu kereta mewah berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Empat pemandu lain serta seorang penunggang motosikal bagaimanapun tidak cedera," katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X