Selasa, 29 Disember 2015 | 3:07pm

UMT cipta sejarah dunia laksana program TAF

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar (dua dari kiri) bersama Pengurus Bersama Salihin Chartered Accountants, Salihin Abang (dua dari kanan) selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMT dan Salihin Chartered Accountants. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama di dunia melaksanakan program 'Firma Pengajaran Perakaunan' (TAF). 

Program TAF itu dilaksanakan hasil kerjasama dengan sebuah firma audit berlesen di negara ini, Salihin Chartered Accountants.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata program TAF dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015 hingga 2025 bagi Pendidikan Tinggi.   

Beliau berkata, sejajar dengan matlamat kerajaan, UMT mengorak langkah menjalikan hubungan erat dengan pihak industri bagi mewujudkan program '[email protected]'.

"Projek pertama di bawah program ini adalah menubuhkan TAF bertujuan memperkasakan program Sarjana Muda Perakaunan di UMT. 

"Kita harap, program TAF yang pertama dilaksanakan di dunia ini mampu meningkatkan kualiti graduan UMT dengan kemahiran teknikal terutama dalam bidang perakaunan. 

"Malah, kita yakin kerjasama UMT dan Salihin Chartered Accountants ini diharap mampu melonjakkan peratusan gred universiti ini daripada 70 peratus kepada 90 peratus dalam tempoh enam bulan hingga setahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMT dan Salihin Chartered Accountants di Auditorium Mahyuddin UMT, di sini, hari ini. 

 Sementara itu, Pengurus Bersama Salihin Chartered Accountants, Salihin Abang, berkata pihaknya membuka pejabat di dalam kampus itu yang akan digunakan sebagai TAF dan diuruskan secara bersama dengan UMT.

Katanya, TAF akan menawarkan perkhidmatan seperti pengauditan, penyediaan akaun, kesetiausahaan, percukaian dan khidmat nasihat di dalam UMT.

Berita Harian X