Rabu, 30 Disember 2015 | 11:56am

Mira berdebar berdepan Adi Putra


BARISAN pelakon drama Cinta Si Wedding Planner.

KUALA LUMPUR: Apabila seseorang pelakon yang masih dikira baharu digandingkan dengan bintang senior, pasti ada perasaan gugup bersarang dalam diri.

Situasi sama dialami oleh Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 22, apabila digandingkan dengan Adi Putra dalam drama Cinta Si Wedding Planner.

Drama berkenaan akan mula ditayangkan menerusi slot Akasia, TV3, hari ini.

Biarpun ia bukan lakonan pertama gadis kelahiran Ipoh, Perak ini, drama terbabit menjadi pengalaman sulung kepadanya diberikan peranan utama.

Melakonkan watak Zara atau Izara Batrisya, Mira yang dihubungi BH Online, baru-baru ini, memberitahu beliau cukup berdebar menanti maklum balas penonton terhadap drama arahan Along Kamaluddin, hasil skrip tulisan Mufid Suhaimi itu.

"Perasan saya jadi bercampur-baur. Tambahan pula ia disiarkan dalam slot yang ditonton ramai peminat. Lebih daripada itu, saya bergandingan dengan pelakon senior, Adi Putra, yang bakatnya bukan calang-calang. Bolehkah saya diterima dan bagaimana pula gandingan kami berdua nanti?


MIRA Filzah.

"Tetapi saya bertuah kerana beliau sangat menyokong, sekali gus membuatkan kami selesa di lokasi. Adi banyak membantu saya, malah tak lokek memberi nasihat. Beliau juga menawarkan diri untuk kami berlatih terlebih dulu bagi mencipta keserasian sebelum berlakon di depan kamera. Saya memang segan, namun selepas dua minggu di lokasi penggambaran, kami mula serasi," katanya.

Penggambaran drama 28 episod hasil terbitan Primeworks Studios ini bermula sejak 27 Oktober lalu dan dijangka berlanjutan hingga 28 Januari hadapan.

"Saya dapat tawaran berlakon ini tanpa perlu diuji bakat. Saya anggap ia peluang yang tidak patut dilepaskan. Saya masih baharu, tetapi mahu menjadikan pengalaman ini sebagai proses untuk mematangkan diri dalam lakonan," katanya yang turut aktif mengacara.

Mira sebenarnya sudah berlakon sejak dua tahun lalu. Ketika itu beliau masih pada tahun pertama pengajian Perniagaan Antarabangsa di Universiti Teknolofi MARA (UiTM) di Puncak Alam.

Beliau sempat berlakon drama mini Dunia Lola di Astro dan kemudiannya memberi tumpuan pada pelajaran.

Hanya pada tahun akhir pengajian, bMira kembali berjinak-jinak menjadi pengacara dan kemudian lakonan.

"Saya pernah mengacara program bual bicara KLTV siaran Hypp TV selama empat musim. Ikutkan, selepas menggenggam ijazah saya langsung tidak memikirkan untuk kembali berlakon.

"Namun, pertemuan secara kebetulan dengan penerbit Zeel Production, Fadzil Teh, pada Januari lalu ketika pertandingan Anugerah Juara Lagu memutikkan kembali minat untuk saya kembali mengasah bakat di depan kamera.

"Saya kemudiannya ditawarkan berlakon drama Eksperimen Cinta yang diterajui Fahrin Ahmad dan Izreen Azminda," katanya.

Berita Harian X