Rabu, 30 Disember 2015 | 1:57pm

Hina Sultan Johor, pegawai syarikat pengiklanan didenda RM20,000


TERTUDUH pegawai syarikat pengiklanan, Adnan Mohd Yunus, mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik komen menghina Sultan Johor dalam laman Facebook, didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat pengiklanan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen menghina Sultan Johor dalam laman Facebook.

Tertuduh, Adnan Mohd Yunus, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Disember lalu, kira-kira jam 2 petang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai seorang pengguna Facebook. 

Adnan didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi itu secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di laman Facebook Astro Awani dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu orang lain. 

Berdasarkan fakta kes, antara komen yang dimuat naik ialah 'Sultan dan kerabat jangan menganiaya orang... ni kalau di Johor segala bisnes orang awam semua kerabat nak sapu bersih. Allah ambil sesuatu yang paling Sultan sayang je... anak yang dia paling sayang'. 

Bagi kesalahan itu, Adnan didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama. 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X