Rabu, 30 Disember 2015 | 5:44pm

Nadicorp kaji aplikasi komersial tayar Ekoprena

PENGERUSI LGM, Datuk Ahmad Hamzah (tengah), menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Mohd Albar Md Said (dua dari kanan) dan Pengerusi Eksekutif Nadicorp, Tan Sri Dr Mohd Nazmi Mohd Salleh (dua dari kiri). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Nadicorp Holdings Sdn Bhd memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama penyelidikan kajian aplikasi komersial tayar mesra alam berasaskan getah asli termaju.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Hamzah, berkata di bawah MoA itu, LGM akan membekal 500 unit tayar diperbuat daripada getah asli termaju Ekoprena bagi kegunaan bas ekspres di bawah operasi Konsortium Transnasional Bhd (KTB), anak syarikat Nadicorp, di laluan utara dan selatan Semenanjung.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tiga tahun mulai 2016 hingga 2018, Nadicorp akan membuat pemantauan ke atas pelbagai aspek berhubung penggunaan tayar itu, yang mana data dan maklum balas diperoleh akan disalurkan kepada LGM bagi tujuan mempromosi pembuatan tayar mesra alam itu di peringkat global, sebelum dikomersialkan dua tahun akan datang.

"Hasil penyelidikan yang dijalankan di LGM Sungai Buloh dan Tun Razak Research Centre di United Kingdom sebelum ini mendapati penggunaan Ekoprena dalam sebatian telapak tayar adalah satu kombinasi unik yang menawarkan rintangan guling rendah dan cengkaman basah yang tinggi.

"Ini mencadangkan peningkatan dalam penjimatan tenaga dan lebih penting lagi, dalam tahap keselamatan ketika pemanduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian MoA itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Nadicorp, Tan Sri Dr Mohd Nazmi Mohd Salleh dan Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Mohd Albar Md Said.

Ekoprena adalah nama perdagangan bagi Getah Asli Terepoksida (ENR) dan sejenis getah asli termaju yang diperoleh melalui pengubahsuaian kimia dikenali sebagai pengepoksidaan.

Projek kerjasama penyelidikan antara LGM dan Nadicorp adalah usaha di bawah projek pemula 4 (EPP4): Pengkomersialan Ekoprena dan Pureprena, yang dipantau Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Ahmad berkata, Ekoprena dan Pureprena adalah getah asli termaju dibangunkan LGM menerusi kajian penyelidikan intensif, yang dikategorikan sebagai bahan getah mesra alam kerana penghasilannya menggunakan bahan dan sumber semula jadi boleh diperbaharui, tidak seperti getah sintetik yang dihasilkan sumber petroleum.

Penghasilan getah komersial Ekoprena dan Pureprena membabitkan proses teliti bagi menjamin kualiti getah dihasilkan.

Pemindahan teknologi itu dilaksanakan pada 2010 kepada FELDA Rubber Industries Sdn Bhd (FRISB) bagi membolehkan industri getah tempatan menghasilkan getah bermutu tinggi pada skala besar.

Kilang pertama pemprosesan getah termaju secara komersial terletak di FELDA Palong 8, Negeri Sembilan. Kilang itu direka penyelidik LGM dengan memperkenalkan kaedah pemprosesan lebih cekap dan mesra alam serta berteknologi tinggi.

Pada Mei 2014, LGM menjalin kerjasama strategik dengan Sunrich Integrated Sdn Bhd bagi penghasilan tayar Ekoprena pada skala komersial.

Beliau berkata, kapasiti pengeluaran Ekoprena dan Pureprena akan dipertingkatkan secara berperingkat supaya perkongsian negara meningkat dalam memenuhi permintaan dunia yang diunjurkan sebanyak 300,000 tan menjelang 2020.

Berita Harian X