Sabtu, 11 Oktober 2014 | 4:19pm

Polis nafi laporan wanita dirompak, dibunuh di ibu negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan yang tersebar termasuk di media sosial kononnya beberapa wanita dirompak dan ditikam sehingga menyebabkan kematian di beberapa lokasi di ibu negara.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Asmawati Ahmad, berkata maklumat palsu itu pernah disebarkan pada Julai 2012 dan Julai lalu.

"Tiada kes sedemikian dilaporkan berlaku di sekitar ibu kota," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita sensasi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya yang disebarkan melalui media sosial.

Asmawati berkata, berita palsu itu kini kembali dihebahkan bertujuan menakutkan orang ramai.

Maklumat palsu itu merujuk kepada insiden sedemikian yang kononnya berlaku di Puduraya, Bukit Bintang dan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) membabitkan satu sindiket. - BERNAMA

Berita Harian X