Rabu, 30 Disember 2015 | 11:09pm

Operasi pengangkutan awam dilanjutkan malam Tahun Baharu

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan tahun baharu 2016, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), KL Monorel dan bas RapidKL akan melanjutkan operasi perkhidmatan di stesen terpilih esok.

Mengikut kenyataan Prasarana Malaysia Bhd, perkhidmatan LRT dan monorel di stesen utama dilanjutkan antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi manakala perkhidmatan bas akan dilanjut hingga jam 2.30 pagi di laluan terpilih.

Perkhidmatan di Stesen LRT Hang Tuah dan Bandar Raya bagi Laluan Ampang dan Stesen KL Monorail Hang Tuah akan dilanjut hingga jam 12.30 tengah malam manakala perkhidmatan di Stesen LRT Masjid Jamek bagi Laluan Ampang; Stesen LRT Masjid Jamek dan KLCC bagi Laluan Kelana Jaya dan Stesen Air Asia-Bukit Bintang bagi Laluan KL Monorail akan dilanjut hingga jam 2 pagi.

"Walaupun pintu masuk di stesen lain ditutup secara berperingkat mengikut waktu biasa operasi, penumpang LRT dan monorel di stesen utama yang terbabit masih boleh keluar di mana-mana stesen hingga berakhir waktu perkhidmatan lanjutan itu," katanya.

Perkhidmatan bas RapidKL ke Taman Sri Muda, Taman Medan, Subang Suria, Kota Damansara, Pandan Mewah, Taman Sentosa, Terminal Kajang, Taman Melawati, Taman Datuk Senu, Taman Jasa Utama dan Puchong Utama akan dilanjutkan hingga jam 2.30 pagi.

Sementara itu, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Komuter juga akan dilanjutkan hingga jam 1.30 pagi dengan tiga perkhidmatan tren tambahan disediakan bagi laluan KL Sentral - Rawang; Putra - Seremban dan Putra - Pelabuhan Klang.

Mengikut kenyataan KTMB, lima stesen komuter yang beroperasi hingga tren akhir tamat ialah Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral dan Bandar Tasik Selatan.

Bagi perjalanan lebih lancar penumpang dinasihatkan membeli tiket dua hala atau menggunakan kad Touch n Go bagi mengelakkan kesesakan di kaunter tiket ketika waktu pulang.

Berita Harian X