Khamis, 31 Disember 2015 | 2:51pm

Prof Mohammad Redzuan dilantik Naib Canselor UNISEL 


PROFESOR Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

SHAH ALAM: Bekas Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), berkuatkuasa esok.

Beliau menggantikan Profesor Dr Anuar Ahmad, Naib Canselor UNISEL keenam, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 15 Disember 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata lantikan Naib Canselor UNISEL ketujuh itu dibuat Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS Sdn Bhd.

Katanya, ia dibuat selepas mendapat syor Jawatankuasa Gelintar (Search Committee), yang dianggotai wakil kerajaan negeri, wakil akademik UNISEL dan luar serta pihak industri.

 "Mohammad Redzuan memiliki Sarjana Muda Sejarah daripada Universiti Malaya (1981), Sarjana daripada University of London, United Kingdom (1987) dan Ijazah Kedoktoran Falsafah daripada Edinburgh University, United Kingdom (1994) dengan pengkhususan dalam bidang Sejarah.

 "Beliau berkecimpung dalam bidang akademik selama lebih 30 tahun dan menyandang pelbagai jawatan, termasuk sebagai Pengarah UMCEDEL pada tahun 2014. Beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Anuar pernah menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar UNISEL pada tahun 2007 apabila dilantik sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan dan seterusnya Timbalan Naib Canselor (Akademik) pada 2008.

Katanya, pada 2012, beliau dilantik sebagai Presiden dan Naib Canselor UNISEL dan ketika di bawah penyeliaannya, universiti itu berjaya dinaik taraf kepada universiti Tier 5 Cemerlang oleh sistem penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia, SETARA, pada akhir 2014.

"Kerajaan Selangor ingin menyampaikan penghargaan kepada Anuar atas jasa beliau sepanjang perkhidmatan bersama universiti dan seterusnya mengucapkan tahniah kepada Mohammad Redzuan atas pelantikan sebagai Naib Canselor UNISEL.

"Pengalaman Mohammad Redzuan yang cukup luas dalam bidang pendidikan, serta kecemerlangan dan rekod kepemimpinan beliau pasti akan memberi manfaat yang baik kepada universiti dalam usaha memperkasakan lagi UNISEL dan menempatkan ia bersama universiti terbaik di dalam dan di luar negara," katanya.

Berita Harian X