Jumaat, 1 Januari 2016 | 12:02am
PELATIH mengambil makanan di kantin Pusat Rehabilitasi PERKESO. - Foto Khairunisah Lokman

Patah sayap bertongkat paruh


BOB Woodruff, 54, wartawan penyiaran stesen televisyen Amerika, ABC News, mempunyai segala-galanya - kerjaya yang hebat serta keluarga yang bahagia.

Namun, ketika berada di kemuncak, beliau menerima ujian besar apabila terkena bom ketika membuat liputan di kawasan perang di Taji, utara Baghdad, Iraq, yang mengakibatkan beliau mengalami kecederaan otak yang serius, hampir meragut nyawanya.

Kejadian pada 29 Januari 2006 turut menyebabkan beliau koma selama 36 hari dan harapannya untuk hidup terlalu nipis kerana kecederaan parah di kepala.

Dengan kuasa Tuhan, rawatan terbaik dan pemulihan fizikal serta cara kerja, Woodruff kembali bertugas di ABC News, hanya selepas 13 bulan mengalami tragedi itu.

Itu kisah Woodruff yang boleh dibaca dalam buku tulisan beliau dan isterinya, Lee, bertajuk In an Instant.

PUSAT Rehabilitasi PERKESO di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

Di negara maju, banyak lagi kisah kebangkitan individu selepas mengalami kecederaan atau diserang penyakit tertentu, tetapi berjaya dipulihkan dalam tempoh singkat selepas menjalani pemulihan fizikal atau otak dengan dibantu peralatan perubatan dan kaedah sesuai.

Perkara ini juga tidak mustahil mampu dilakukan oleh individu di negara ini yang mengalami kecederaan atau menghidap penyakit kronik untuk kembali menjalani kehidupan normal dan kembali bekerja jika menerima rawatan serta pemulihan yang sewajarnya.

Justeru, dalam membantu rakyat negara ini yang mengalami kecederaan akibat kemalangan atau penyakit kronik, PERKESO mengorak ke hadapan dengan menubuhkan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka.

Berbeza dengan pusat atau hospital pemulihan lain, pusat itu bukan hanya menawarkan program pemulihan fizikal serta cara kerja, tetapi turut menyediakan latihan vokasional kepada pelatihnya.

Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Dr Hafez Hussain, berkata tujuan utama penubuhan satu-satunya pusat pemulihan milik PERKESO ini adalah untuk memberikan faedah pemulihan kepada orang berinsurans (OB) iaitu pencarum dalam skim PERKESO.

Kemalangan di km405 Lebuhraya Plus arah utara melibatkan konvoi motosikal dirempuh lori. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

Mereka yang layak menerima faedah adalah OB yang mengalami hilang upaya dari segi biologikal, penyakit akibat kemalangan yang dikategori dilindungi PERKESO, kemalangan sama ada di tempat kerja atau ketika berulang alik ke tempat kerja.

Selain itu, penyakit khidmat akibat pekerjaan seperti kerosakan pendengaran akibat terdedah dengan bunyi bising.

Juga pencarum yang mengalami hilang upaya akibat penyakit kronik terutama kencing manis, buah pinggang dan strok.

"Di pusat ini, kita memberikan suasana seperti mereka sedang bekerja kerana aktiviti bermula dari pagi hingga petang.

"Mereka menjalani program pemulihan terdiri fizikal seperti fisioterapi serta cara kerja dan latihan pemulihan yang diberi kepada pekerja untuk melakukan aktiviti yang ada kena mengena dengan tugas mereka sebelum ini. OB juga didedahkan dengan simulasi pekerjaan dalam selamat," katanya.

PELATIH menjalani pemulihan di gimnasium Pusat Rehabilitasi PERKESO. - Foto Khairunisah Lokman

Latihan pemulihan sudah lama dilaksanakan di hospital awam, tetapi sejak 10 tahun lalu ia lebih proaktif dalam melaksanakan program pemulihan terutama bagi pesakit yang mengalami masalah kurang upaya akibat kemalangan dan penyakit.

"Dulu kita melihat dari segi biologikal bukan psikologikal. Sebelum ini, rawatan hanya untuk penyakit saja, tidak ada program pemulihan.

"Misalnya, jika seseorang itu menghidap penyakit kronik seperti kencing manis atau strok, apabila rawatan sudah stabil tetapi fungsinya masih belum mencapai apa yang mereka boleh lakukan sebelum ini, di sinilah rawatan pemulihan memainkan peranan," katanya.

Dalam mewujudkan pusat itu, pihaknya banyak belajar dan mengambil rujukan dari pusat pemulihan yang sudah sedia wujud di negara maju, termasuk Jerman, Austria, Australia dan Jepun.

Mengulas mengenai jangkaan peratusan pemulihan, beliau menegaskan sukar untuk menjangkakannya kerana ia perlu dilihat mengikut kes.

"Kadangkala putus urat tangan pun lebih sukar untuk kembali bekerja di tempat lama terutama apabila kerjayanya sebelum ini adalah pemain piano.

PEGAWAI Jurupulih Kerja (Unit Work Hardening), Maryam Mohd Saufian menunjukkan tempat latihan di Pusat Rehabilitasi PERKESO. - Foto Khairunisah Lokman

"Kita bukan melihat dari keadaan penyakit, tetapi lebih kepada fungsi seseorang itu, apa yang dia ada kita terima dan gilap fungsinya.

"Dalam pemerhatian doktor sudah menjadikan mereka stabil, tetapi jika mereka perlu dirujuk ke hospital kita akan hantar mereka.

"Cara kita bekerja sangat mudah, mereka adalah calon program Return To Work. Kita minta pekerja kembali ke majikan asal untuk melakukan kerja yang sama atau di bahagian lain. Kita perlu menghormati penyumbang yang juga majikan dan pekerja," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pengurusan Kecacatan dan Latihan Semula Vokasional, Mustapa Umar, berkata pusat itu boleh menempatkan 370 OB pada satu-satu masa dengan kemudahan asrama serta wad.

"Keistimewaan pusat ini adalah seni bina uniknya di mana semua bangunan disusun mengikut struktur tulang belakang manusia.

"Ia juga dilengkapi dengan asrama, wad, dewan makan serta surau dengan kemudahan mesra orang kelainan upaya (OKU), termasuk laluan kerusi roda, kereta buggy dan kawasan yang dicat pelbagai warna bagi memudahkan peserta mengalami masalah penglihatan serta arah tuju," katanya.

Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 797 kes dirujuk di pusat itu dengan 441 kes kemasukan ke pusat itu.

SHARIFAH belajar menjahit di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Hang Tuah Jaya, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

Kurang upaya bukan halangan berdikari

Bagi bekas pekerja butik kecantikan, Sharifah Musa, 33, lumpuh separuh badan dan cacat anggota pada usia masih muda bukan bermakna kehilangan segala-galanya.

Walaupun pada peringkat awal sukar menerima hakikat anggota badan tidak lagi mampu bergerak aktif seperti sebelum ini, beliau terus bangkit berdiri dan meneruskan kehidupan dengan sebaiknya.

Sharifah, berasal dari Temerloh, yang lumpuh dari pinggang hingga kaki tidak menyangka peluang berada di Pusat Rehabilitasi PERKESO di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka sejak tiga bulan lalu membolehkannya mempunyai masa depan lebih cerah dalam kerjaya.

"Selepas melakukan pembedahan membuang ketumbuhan pada 2009, saya kembali ke tempat kerja menggunakan kerusi roda, tetapi terpaksa berhenti bekerja kerana tiada siapa yang boleh hantar ke tempat kerja.

"Sebelum itu, adik saya yang menghantar saya ke tempat kerja tetapi selepas berkahwin beliau berpindah ke tempat lain.

"Sejak itu, saya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa selama lima tahun sehinggalah pengurus kes saya menghubungi dan meminta supaya ke pusat itu.

"Pada mulanya rasa agak sukar untuk menguruskan diri sendiri kerana selama ini keluarga yang membantu menguruskan diri saya," katanya.

SHARIFAH belajar menjahit di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Hang Tuah Jaya, Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

Di pusat itu, masanya penuh dengan pelbagai aktiviti pemulihan seperti menggunakan peralatan sukan di gimnasium bagi memulihkan serta menguatkan otot tangan dan mengikuti kelas jahitan.

Hanya selepas dua minggu di pusat itu, beliau dapat menyesuaikan diri. Tangannya juga semakin kuat.

Walaupun sebelum ini Sharifah tidak pernah terfikir menceburi bidang jahitan, tetapi kini sejak mula belajar menjahit menerusi program vokasional pusat ini, beliau sudah tahu apa yang perlu dilakukan sebaik keluar dari pusat ini.

"Saya bercadang untuk memulakan perniagaan jahitan dengan menerima tempahan jahitan daripada orang ramai," katanya tidak putus-putus memuji keluarganya atas kesanggupan dan pengorbanan mereka menjaganya.

Bagi kes kedua, Abdul Rahman Khan Rasil, 26, menghabiskan masanya dengan melakukan tiga pekerjaan.

Tiada istilah rehat bagi pemuda yang ringan tulang ini. Pagi dihabiskan dengan menjadi penyelia di stesen minyak, pulang dari tempat kerja beliau memulakan tugas sebagai anggota Rescue 991 dan pada sebelah malam pula, berniaga burger.

Bagaimanapun, rutin hidupnya berubah selepas kemalangan yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan, namun, ia tidak menjejaskan semangat juangnya untuk terus melakukan aktiviti mengikut kemampuannya.

Mengimbau kisahnya, beliau yang mengalami kemalangan ketika pulang dari bekerja, tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk terus mengurung diri di rumah.

Selepas lima bulan di rumah, beliau menyertai pasukan bola keranjang mewakili Pulau Pinang dalam Sukan Paralimpik.

Pada masa yang sama, beliau melanjutkan pengajian di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Orang Kurang Upaya Bangi dalam bidang pembuatan kerusi roda.

Beliau yang baru sebulan berada di pusat pemulihan itu, tidak putus memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana selain menjalani rawatan pemulihan, beliau turut dibekalkan latihan vokasional seperti kemahiran membuat kunci.

"Di sini, kami tidak dikongkong. Setiap hari aktiviti seperti latihan menguatkan anggota badan di gimnasium dan kemahiran vokasional. Kami juga dibenarkan keluar bandar pada hujung minggu.

"Untuk mengelakkan kebosanan, kami keluar beramai-ramai sama ada untuk makan di kedai di luar pusat ini atau berkelah. Ada rakan OKU yang mempunyai kenderaan dan kami keluar beramai-ramai," katanya.

ZASMIDAR memakai kasut khas dan kini mampu berdikari. - Foto Khairunisah Lokman

Bagi Zasmidar Mat Junus, 44, yang berasal dari Hulu Langat, Selangor pula, tiga bulan berada di pusat itu membolehkannya berdikari dan berjalan tanpa menggunakan tongkat.

Ibu tunggal yang sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya besar, mengalami cacat anggota kaki apabila terbabit dalam kemalangan sehingga tulang kakinya terpaksa dipotong sekali gus menyebabkan beliau tidak dapat berjalan tanpa menggunakan tongkat.

"Selepas kemalangan saya hanya duduk di rumah dan tidak bekerja. Alhamdulillah, selepas menjalani pemulihan di pusat ini, saya mampu berjalan dengan baik menggunakan kasut yang ditempah khas tanpa menggunakan tongkat.

"Lebih manis, saya akan mula bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di Institut Kemahiran Belia (IKBN) Dusun Tua. Semuanya diuruskan pihak PERKESO, termasuk kerja ini," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Berita Harian X