Sabtu, 2 Januari 2016 | 1:06am

Obama, Peguam Negara AS bincang isu kawalan senjata

OBAMA (kanan) akan bertemu Loretta Lynch, Isnin ini bagi membincangkan cara mengurangkan keganasan senjata. - Foto Agensi
OBAMA (kanan) akan bertemu Loretta Lynch, Isnin ini bagi membincangkan cara mengurangkan keganasan senjata. - Foto Agensi

WASHINGTON: Presiden Barack Obama akan bertemu Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) Loretta Lynch, Isnin ini bagi membincangkan cara mengurangkan keganasan senjata.

Obama, dalam ucapan mingguan yang dirakam terlebih dulu, berkata beliau menerima terlalu banyak surat daripada ibu bapa, guru dan kanak-kanak, menuduh beliau tidak mengambil apa-apa tindakan berkaitan isu itu.

Beliau berulang kali menggesa Kongres mengetatkan undang-undang senjata, dengan gesaan lebih kuat susulan insiden pembunuhan tahun 2012 di sebuah sekolah rendah di Newtown, Connecticut dan sekali lagi musim luruh ini selepas kejadian tembakan besar-besaran di Colorado Springs, Colorado dan San Bernardino, California.

"Beberapa bulan lalu, saya mengarahkan pasukan saya di Rumah Putih melihat sebarang tindakan baharu yang boleh saya ambil bagi mengurangkan keganasan senjata.

"Isnin ini, saya akan bertemu peguam negara, Loretta Lynch bagi membincangkan pilihan kami," katanya dalam ucapan itu.

Akhbar The Washington Post, memetik beberapa individu yang diberi taklimat berhubung perkara itu berkata, Obama dan Lynch akan memuktamadkan beberapa set tindakan eksekutif berhubung perkara terbabit. - REUTERS

Berita Harian X