Sabtu, 2 Januari 2016 | 1:27pm

Tiada pasukan dapat 'bye' undian Piala FA


KETUA Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam menjelaskan tiada pasukan yang mendapat 'bye' bagi saingan Piala FA 2016 termasuk naib juara musim lalu, Kelantan.

Kevin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang tersebar di laman sosial mengatakan Kelantan mendapat bye bagi saingan Piala FA atas tiket naib juara musim lalu.

Sebaliknya, Kevin menegaskan semua pasukan akan bersaing pada pusingan pertama dengan lawan masing-masing akan ditentukan menerusi undian pada Sabtu depan.

"Setakat ini kita hanya tetapkan pasukan Liga Super dan Liga Perdana dikecualikan daripada play-off kerana ia hanya membabitkan pasukan daripada Liga FAM.

"Saya tidak boleh dedahkan berapa pasukan Liga FAM yang akan bersaing, tunggu saja pada hari undian itu nanti.

"Memang banyak spekulasi yang tersebar di laman sosial, tetapi apa yang boleh saya katakan setakat ini tiada pasukan yang mendapat bye dan semua pasukan akan diundi," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Berdasarkan khabar angin yang tersebar di laman sosial, sebanyak 35 pasukan termasuk 11 dari Liga FAM, 12 Liga Super dan 12 Liga Perdana akan diundi Sabtu depan manakala Kelantan mendapat bye bagi saingan Piala FA 2016.

Berita Harian X