Sabtu, 2 Januari 2016 | 4:28pm

Kanak-kanak dua tahun maut telan bateri

Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Briana Flores meninggal dunia akibat tertelan bateri kecil ketika cuti perayaan Krismas.

OKLAHOMA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia akibat tertelan bateri kecil ketika cuti perayaan Krismas.

Briana Flores dilaporkan jatuh sakit sehari selepas membuka hadiahnya di rumah datuknya pada Boxing Day (sehari selepas Krismas).

Kanak-kanak malang dari Oklahoma itu dikejarkan ke hospital selepas kulitnya bertukar biru-kebiruan dan muntah darah.

Datuknya, Kent Vice memberitahu Tulsa World: "Pada Sabtu, beliau dalam keadaan baik. Ia adalah sambutan Hari Natal yang sempurna," katanya.

Sementara itu, doktor mengesahkan bahawa kanak-kanak itu menelan bateri kecil bersaiz butang dan terus menghantar mangsa ke hospital lain untuk menjalani pembedahan.

Vice kemudian memberitahu akhbar itu: "Mereka buat pembedahan selama dua jam setengah, tetapi doktor gagal menghentikan pendarahannya.

"Mereka (doktor) percaya asid bateri itu memasuki arteri karotid (saluran darah) dan kemudiannya esofagus (saluran yang menghubungkan tekak dan perut)... Kami tidak tahu bila dia menelan bateri itu," katanya. - AGENSI.

Berita Harian X