Isnin, 4 Januari 2016 | 2:38pm

Hidup Nabila Huda berubah 360 darjah lepas kahwin

KUALA LUMPUR: Kehidupan bintang Akulah Balqis, Nabila Huda, 31, sejak berkahwin dengan tauke kafe hipster, Mohd Izwan Johar, 32, pada 25 Disember lalu berubah 360 darjah dengan pelakon itu meningkatkan skil memasak saban hari.

Selepas beberapa tahun hidup sendirian dengan status ibu tunggal, Nabila mengakui bahagia dengan fasa kehidupan sekarang.

"Kehidupan saya sekarang lengkap.

"Biasalah, rutin harian memasak untuk suami dan Keisha. Saya tidak rasa terbeban kerana memang suka memasak," katanya kepada BH Online.

Nabila berkata, hingga hari ini, dia masih menerima ucapan tahniah daripada teman-teman dan sanak-saudara atas perkahwinan kali keduanya itu.

"Alhamdulillah tidak putus-putus doa dan ucapan tahniah diberikan semua pihak. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan.

"Saya harap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik," katanya.

Bercerita mengenai cahaya mata pula, Nabila tidak kisah andai dikurniakan anak ramai.

"Saya tidak kisah kerana mahu menginginkan keluarga yang besar," katanya.

Sementara itu, Nabila memberitahu, majlis resepsi kedua akan diadakan di kediaman bapanya, lagenda rock, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman, 57, di Shah Alam, pada 16 Januari depan.

"Majlis menyambut menantu diadakan bagi merapatkan lagi hubungan antara suami dan saudara mara terdekat.

"Acara itu akan diadakan di rumah papa secara kecil-kecilan. Keputusan untuk mengadakan majlis itu adalah atas persetujuan bersama," katanya.

Nabila dan Izwan selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Disember lalu.

Majlis pernikahan Nabila berlangsung sederhana dengan dihadiri teman rapat dan keluarga.

Sebelum ini, Nabila mendirikan rumah tangga dengan Zaidy Zailani pada tahun 2008, namun berpisah dua tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Keisha Laila yang berusia enam tahun.

Berita Harian X