Isnin, 4 Januari 2016 | 8:10pm

Data 'Name And Shame' untuk individu bersalah - SPRM


LAMAN sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di www.sprm.gov.my

KUALA LUMPUR: Hanya individu yang didapati bersalah oleh mahkamah akan dimasukkan dalam pangkalan data 'Name and Shame' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi itu dalam kenyataan hari ini berkata, pangkalan data itu diwujudkan untuk menyenaraikan nama mereka yang sudah didapati bersalah dalam kes rasuah, bukannya mereka yang sedang disiasat.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gelang Patah dari DAP, Lim Kit Siang, yang meminta supaya meletakkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pangkalan itu.

Sejak 2010 hingga Jun tahun lalu, sebanyak 726 nama dan gambar pesalah rasuah sudah dimuat naik dalam pangkalan data 'Name and Shame' di laman web SPRM, www.sprm.gov.my.

Menerusi pangkalan data itu, masyarakat boleh mengetahui maklumat mengenai individu yang sudah disabitkan kesalahan rasuah, termasuk nama, gambar serta maklumat kes yang disabitkan.

Bagaimanapun, setiap maklumat pesalah rasuah ini hanya akan ditunjukkan selama tiga tahun sebelum dikeluarkan semula daripada pangkalan data itu.

Pangkalan data berkenaan adalah satu daripada 26 inisiatif dan kajian yang sudah dilaksanakan di bawah Makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi rasuah.

Langkah berkenaan juga diwujudkan sebagai satu inisiatif pencegahan kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan rasuah serta memberi gambaran bahawa ia adalah jenayah serius.

Berita Harian X