Selasa, 5 Januari 2016 | 5:09pm
Mahkamah Majistret Johor Bahru

Kanak-kanak disyaki dijual bapa diserah kepada JKM

JOHOR BHARU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengeluarkan perintah perlindungan sementara selama sebulan terhadap kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang disyaki dijual bapanya kepada sepasang suami isteri untuk dijadikan anak angkat.

Perintah mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001 itu dikeluarkan oleh Majistret Tan Chai Wei selepas membenarkan permohonan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam.

Terdahulu, kanak-kanak perempuan terbabit tiba bersama pegawai JKM Johor untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara selepas diserahkan anggota polis yang menjalankan siasatan terhadap kes itu.

Prosiding bagi mendapatkan perintah penjagaan sementara itu diadakan di kamar mahkamah sebelum kanak-kanak itu dibawa meninggalkan perkarangan mahkamah kira-kira jam 1 tengah hari untuk ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Jalan Petri, dekat sini.

Sementara itu, Pegawai JKM Johor Bahru, Manayi Ibrahim, berkata kanak-kanak perempuan itu diserahkan polis selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.

"Kami mendapatkan perintah penjagaan sementara di Mahkamah Juvana bagi membolehkan kanak-kanak perempuan itu mendapatkan perlindungan di rumah perlindungan di bawah JKM.

"Kes berkenaan masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-kanak 2001. Setakat ini JKM belum mendapatkan keterangan daripada keluarga kanak-kanak terbabit," katanya.

Berita Harian X