Selasa, 5 Januari 2016 | 5:46pm

Kanak-kanak wajib dapatkan imunisasi 5 serangkai

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menggesa ibu bapa memastikan anak mereka mendapat imunisasi lima serangkai dos utama yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit termasuk jangkitan difteria.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib bagi menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Type B.

"Ia diberikan pada umur 2, 3 dan 5 bulan sebagai prime dose atau dos utama serta pada usia 18 bulan sebagai dos tambahan. Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam masyarakat akan memberi imuniti kelompok selain melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini.

"Kanak-kanak yang menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan. Di Malaysia, pesakit yang disyaki difteria akan diberi antitoksin dengan segera tanpa menunggu keputusan ujian makmal kerana sebaran toksin ke seluruh tubuh boleh mengancam nyawa.

"Lazimnya seorang kes difteria memerlukan tujuh hingga lapan vial antitoksin dengan kos RM500 setiap vial berbanding kos vaksin hanya RM34 satu dos, yang dapat melindungi seseorang daripada lima jenis penyakit," katanya.

Pada awal November 2015, satu kes difteria dilaporkan berlaku di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Kedah membabitkan pesakit berusia lapan tahun yang tidak menerima imunisasi difteria.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan dan semua yang berhubungan rapat diperiksa, di mana hanya seorang disahkan dijangkiti difteria.

Kedah juga pernah melaporkan satu kes kematian difteria yang berlaku di Kampung Bikan, Kulim pada Disember 2014.

Jelas beliau, kes berkenaan juga tidak mendapat suntikan lengkap imunisasi difteria, yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheria dan tersebar melalui titisan cecair pernafasan.

"Bakteria ini akan menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) serta menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak selain bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

"Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis). Sejak pelalian difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada 1972, kejadian penyakit difteria berkurangan dengan sangat ketara.

"Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, bilangan kes difteria yang paling tinggi di Malaysia adalah pada tahun 2013, iaitu empat kes termasuk dua kematian dilaporkan dengan kadar insiden 0.01 per 100,000 penduduk," katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan bahawa jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi, sekali gus menunjukkan betapa bahayanya penyakit itu dan betapa mustahaknya kanak-kanak diberi imunisasi difteria.

Berita Harian X