Selasa, 5 Januari 2016 | 6:44pm

E-Idaman diberi tempoh percubaan 6 bulan urus sisa pepejal

IPOH: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi tempoh enam bulan kepada syarikat konsesi, Environment Idaman (E-Idaman) bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Gugusan Manjoi, di sini.

Perkhidmatan itu sebelum ini diuruskan sepenuhnya MBI sebelum Kerajaan Persekutuan melantik E-Idaman menyediakan perkhidmatan itu di zon utara termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, keputusan memuktamadkan penswastaan itu bergantung kepada kerajaan negeri namun MBI memberi peluang kepada syarikat konsesi berkenaan sehingga Jun ini untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di bandar raya berkenaan.

Katanya, program kolaborasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan antara MBI dan SWCorp serta E-Idaman di kawasan Gugusan Manjoi hari ini turut mendidik penduduk kawasan berkenaan mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula.

"Penduduk mengumpulkan barang yang boleh dikitar semula dalam beg di tepi tong sampah sebelum syarikat konsesi berkenaan mengambil sisa itu mengikut hari kutipan kitar semula yang ditetapkan."

"Manakala sisa yang tidak boleh dikitar semula termasuk sisa makanan dimasukkan ke dalam tong sampah yang diedarkan secara percuma sebelum hari kutipan dijalankan mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Kolaborasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam antara MBI, SWCorp dan E-Idaman di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin; Pengarah SWCorp Perak, Fatimah Ahmad dan Pengurus Besar E-Idaman, Azmi Amin Sarji.

Sementara itu, Fatimah berkata, pihaknya mengenal pasti 300 tempat pembuangan haram di kawasan Gugusan Manjoi selepas menjalankan pemantauan tiga hari di kawasan itu.

Katanya, SWCorp turut mengawal selia serta memantau keberkesanan E-Idaman menjalankan perkhidmatan menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam tempoh percubaan mengikut skop kerja, petunjuk prestasi utama (KPI) dan peralatan seperti termaktub dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Sebanyak 5,467 tong sampah diedarkan secara percuma kepada penduduk kawasan Gugusan Manjoi bagi membolehkan mereka mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula sebelum E-Idaman menjalankan kutipan tiga kali seminggu.

"Bagaimanapun, SWCorp berhak mengenakan notis dan penalti kepada syarikat konsesi berkenaan jika gagal melakukan kutipan sampah dan sisa pepejal mengikut jadual ditetapkan.

"Syarikat E-Idaman turut bertanggungjawab melakukan pembersihan awam termasuk memotong rumput dua kali sebulan, melakukan sapuan jalan, membersihkan longkang dan parit mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Fatimah berkata, Gugusan Manjoi adalah lokasi kedua di Perak dipilih bagi menerapkan kesedaran membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Katanya, lokasi pertama dilakukan di Pulau Pangkor dan maklum balas diberikan penduduk di pulau berkenaan sangat baik.

"Selepas Gugusan Manjoi, kita akan menjalankan program sama di Taiping bagi memberi pendedahan kepada penduduk mengenai pengasingan sisa pepejal yang boleh dikitar semula," katanya.

Berita Harian X