Rabu, 6 Januari 2016 | 11:41am

APMM tahan bot langgar syarat permit

LUMUT: Empat awak-awak dan seorang tekong warga Myanmar ditahan ketika sedang mengasingkan ikan kira-kira 16.2 batu nautika dari barat Pulau Pangkor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.12 pagi itu, lima warga asing terbabit bekerja di atas bot nelayan tempatan ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly, berkata bot nelayan terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sebuah kapal APMM yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Perak.

"Ketika dihampiri, bot itu baru sahaja menaikkan pukat dan sedang melakukan kerja pengasingan ikan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lima warga asing berusia antara 18 dan 39 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selain tidak mempunyai permit kerja yang sah sekali gus melanggar syarat-syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan semua warga asing terbabit boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam kali seorang.

"Bot nelayan itu berpangkalan di Hutan Melintang dan pihak kami sedang mengesan pemilik bot terbabit untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X