Rabu, 6 Januari 2016 | 1:22pm

United sedia sambar Bale pada harga RM480.95 juta


GARETH Bale. - Foto EPA

LONDON: Manchester United bersedia mendapatkan Gareth Bale dengan harga STG75 juta (RM480.95 juta) pada bulan ini, selepas memperoleh isyarat daripada bintang Real Madrid itu yang bersedia kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Masa depan Bale di Bernabeu menjadi perbualan susulan keputusan presiden Real, Florentino Perez untuk menyingkirkan ketua jurulatih, Rafael Benitez selepas tujuh bulan mengambil alih pasukan.

Perkara itu menyebabkan United kini bersedia menandatangani Bale, selepas lama memerhatikan pemain berumur 26 tahun itu sejak berpindah ke Sepanyol daripada Tottenham bagi rekod perpindahan dunia STG85 juta (RM545.08 juta) pada 2013.

Real sudah menerima pertanyaan mengenai Bale daripada Old Trafford pada setiap tempoh perpindahan dibuka dan United akan mencuba sekali lagi pada bulan ini meskipun mengakui mempunyai peluang lebih baik pada musim panas ini.

Manchester City dan Chelsea adalah dua kelab di England yang mampu membayar gaji STG300,000 (RM1.92 juta) seminggu, tetapi Bale dikatakan lebih menggemari United jika kembali ke England.

Ryan Giggs adalah salah seorang hero pemain itu dan United percaya penolong pengurus yang membantu Louis van Gaal, akan menjadi tarikan utama pemain Wales itu ke Old Trafford.

Jurulatih baharu Real, Zinedine Zidan juga mengakui Bale tidak gembira mengenai pemecatan Benitez tetapi berikrar untuk membuatkan pemain itu rasa diperlukan di dalam kelab.

"Gareth kecewa dengan pemecatan Rafa kerana dia adalah jurulatih yang penting buatnya, tetapi saya akan melayannya sama seperti Rafa lakukan," kata Zidane. - AGENSI

Berita Harian X