Rabu, 6 Januari 2016 | 8:41pm

Pekerja utamakan jawatan daripada gaji - Kaji selidik

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati pengiktirafan di tempat kerja mengatasi ganjaran kewangan, sekali gus menjadi faktor terpenting bagi motivasi pekerja di dalam organisasi di seluruh dunia tanpa mengira usia, industri atau lokasi.

Majoriti responden mengakui bahawa kenaikan gaji melalui skim prestasi boleh membantu memupuk prestasi yang terbaik, 70 peratus daripada responden di Asia Timur, Pasifik dan Afrika bersetuju bahawa ukuran prestasi seperti ini boleh diperbesarkan atau dipalsukan bagi memenuhi sasaran mereka.

Dalam kaji selidik terbaharunya berjudul "Sikap Penyaluran Korporat dan Budaya", Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menyatakan 74 peratus daripada responden menyatakan bahawa persekitaran di mana pekerja boleh berbincang dengan selesa adalah cara yang paling berkesan bagi menggalakkan etika dalam sesebuah organisasi.

"Ini disokong oleh 58 peratus pendapat supaya sikap yang tidak beretika perlu dihukum dan 55 peratus responden pula bersetuju tingkah laku yang beretika perlu wajar ganjaran untuk memupuk semangat positif ini," menurutnya dalam satu kenyataan.

Mereka juga tidak bersetuju dengan sikap pilih kasih dan menyarankan supaya pihak atasan mengukuhkan idea "Kepimpinan Melalui Teladan."

Profesor Perakaunan dan Kewangan di Manchester Business School serta penulis bersama dalam kajian itu, Konstantinos Stathopoulos, berkata keputusan itu mendedahkan bahawa tidak ada satu penyelesaian standard yang boleh dipakai untuk membangunkan budaya dan tingkah laku korporat.

"Walaupun peranan kepimpinan adalah respon yang dipersetujui ramai, kaji selidik itu juga mendedahkan perbezaan yang signifikan dalam sikap dan persepsi mengenai saluran tingkah laku korporat yang berkesan.

"Jurang ini juga dipergiatkan oleh perbezaan dalam lokasi geografi, industri dan ciri-ciri responden," katanya.

Kaji selidik itu membabitkan hampir 2,000 profesional kewangan global ACCA. - BERNAMA

Berita Harian X