Rabu, 6 Januari 2016 | 11:21pm

Golf: Khor, Namchok kuasai pusingan pertama

KHOR Kheng Hwai dan Namchok Tantipokhakul. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pemain harapan negara, Khor Kheng Hwai, mempamerkan aksi cemerlang dengan mencatat pukulan enam bawah par 65 untuk berkongsi tempat pertama bersama pemain Thailand, Namchok Tantipokhakul pada pusingan pembukaan Kejohanan Golf Warisan Harta Sabah Masters hari ini.

Khor, 31, meraih 31 pukulan melalui enam birdie untuk mendahului peserta lain dengan kelebihan tiga pukulan bersama Namchok di Kelab Golf & Country Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

Pemain yang berada dalam kelompok tiga pemain teratas dalam dua kejohanan terakhirnya pada 2015 itu berkata, dia gembira kerana permainannya sekarang yang menjadi pembakar semangat untuk lebih berjaya dalam menghadapi tahun baharu.

"Pukulan saya pada sembilan lubang pertama sungguh menjadi. Kesemua lima birdie saya pada sembilan lubang pertama dibuat dalam jarak lima kaki (1.5 m). Saya membuat hayunan dengan penuh yakin walaupun terpaksa berdepan dengan angin yang agak kencang pada sembilan lubang kedua, saya berjaya mengatasi keadaan sukar itu dan meraih satu lagi birdie pada lubang terakhir.

"Ini aksi pertama saya tahun ini dan prestasi yang meyakinkan ini sudah pasti menjadi pembakar semangat saya dalam menghadapi musim ini. Saya gembira kerana permainan saya tetap kemas walaupun selepas bercuti," katanya.

"Kemenangan dalam litar tempatan di Pulau Pinang tahun lepas menghilangkan bebanan dari bahu saya dan saya menikmati keadaan sekarang," kata Khor seperti yang dipetik daripada laman sesawang Jelajah Pembangunan Asia (ADT).

Menurut pemain ini, memandangkan tiga pemain teratas dalam pusingan akhir ASEAN PGA Tour Order of Merit akan layak beraksi dalam Terbuka Singapura SMBC Jelajah Asia yang menawarkan hadiah AS$1 juta (kira-kira RM4.41 juta) akhir bulan ini, kemenangan yang diraihnya pada kejohanan ini akan melonjakkan kedudukannya daripada tempat ke-11 dalam senarai hadiah wang tunai.

Sementara itu, Namchok, 28, pemain yang mencatat hole-in-one pertama pada kejohanan ini iaitu di lubang keempat, juga berpuas hati dengan permainannya setakat ini.

"Saya sunguh gembira dengan permainan saya setakat ini. Saya memulakan permainan dengan satu bogey, jadi hole-in-one itu merupakan kejutan manis bagi saya.

"Saya gembira dapat kembali beraksi di Sabah. Saya tidak mahu membebankan diri saya dengan tekanan. Saya hanya ingin berseronok minggu ini," kata Namchok, yang mencatat satu ace serta enam birdie.

Kedudukan pusingan pertama:

65 - Khor Kheng Hwai (MAS), Namchok Tantipokhakul (THA);

68 - Nirun Sae-ueng (THA);

69 - Songthum Anusasananun (THA), Solomon Emilio Rosidin (MAS);

70 - Mitchell Slorach (SIN), Koh Dengshan (SIN), Casey O'Toole (USA), Rattanon Wannasrichan (THA);

71 - Low Khai Jei (Am), Ben Leong (MAS), Phachara Khongwatmai (THA), Mardan Mamat (SIN), Alwarith Damian (MAS), Antonio Lascuna Jr (PHI), Nattapong Putta (THA), Piya Swangarunporn (THA), Jay Bayron (PHI), Kemarol Baharin (MAS).

- BERNAMA

Berita Harian X