Khamis, 7 Januari 2016 | 8:45am

12 menteri baharu dilantik anggotai Kabinet Tunisia

PERDANA Menteri Tunisia, Habib Essid. - Foto AFP

TUNIS: Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid mengumumkan 12 menteri baharu dalam rombakan Kabinet untuk meningkatkan kecekapan kerajaan dalam memerangi militan Negara Islam (IS) dan memulihkan ekonomi.

Darurat diisytiharkan di Tunisia sejak pengebom IS menyerang pengawal presiden pada November di ibu negara, Tunis susulan dua serangan militan ke atas pelancong asing yang menjejaskan ekonomi negara itu.

Essid antaranya mengumumkan menteri baharu bagi portfolio dalam negeri, kehakiman dan luar negara.

Beliau tidak memberikan alasan mengapa rombakan itu dibuat tetapi tahun lalu pernah memberitahu dia akan menggantikan menteri bagi meningkatkan kecekapan kerajaannya.

Tunisia, dipuji sebagai negara contoh perubahan demokratik sejak pemimpin autokrat Zine El-Abidine Ben Ali digulingkan pada 2011 dan sejak itu mengelak daripada dilanda keganasan seperti kebangkitan 'Arab Spring' di negara lain yang turut menyaksikan pemimpin terlalu berkuasa digulingkan.

Sementara itu, kenyataan pejabat Essid turut mengumumkan pelantikan Hedi Majdoub sebagai Menteri Dalam Negeri yang baharu dan bekas penasihat presiden, Khemais Jinaou sebagai Menteri Luar. - Reuters

Berita Harian X