Khamis, 7 Januari 2016 | 6:23pm

4 penjenayah berputih mata, kedai emas kosong

KUALA SELANGOR: Empat penjenayah terpaksa berputih mata apabila cubaan merompak sebuah kedai emas di Jeram dekat sini, pagi tadi, gagal kerana ruang pameran barang kemas premis itu masih kosong.

Difahamkan, sebelum kejadian, isteri pemilik kedai emas itu baru sahaja membuka pintu hadapan kedai untuk memulakan perniagaan kira-kira jam 10.20 pagi.

Beliau kemudiannya didatangi tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang serta sebuah beg dipercayai untuk mengisi barang kemas. 

Bagaimanapun, barang kemas yang disimpan di dalam bilik kebal masih belum dikeluarkan dan ruang pameran barang kemas masih kosong. 

Cubaan suspek memecahkan cermin ke pintu bilik kebal juga gagal. Kumpulan perompak itu kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira yang di parkir kira-kira 25 meter dari kedai emas itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ruslan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sepasukan Forensik dari Polis Kontinjen Selangor (IPK) turut berada di lokasi untuk membantu siasatan.

"Tiada sebarang kerugian serta kecederaan dilaporkan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya.  

Berita Harian X