Khamis, 7 Januari 2016 | 6:28pm

Peminat serbu tayangan percuma filem Langit Cinta


SEBAHAGIAN orang ramai termasuk pelakon tambahan yang berlakon dalam filem Langit Cinta membanjiri Mega Cineplex di pusat beli belah Langkawi Parade, Langkawi untuk menonton filem itu yang mula ditayangkan serentak seluruh negara mulai hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Ratusan peminat filem Melayu membanjiri pekarangan Mega Cineplex di Langkawi Parade di sini, petang ini untuk menonton filem Melayu terbaharu 'Langit Cinta' secara percuma.

Program menonton secara percuma disusuli sesi beramah mesra dengan pelakon Nur Fazura, yang juga heroin filem itu dan pengarahnya, Osman Ali, dianjurkan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Selain Nawawi, turut menyaksikan tayangan itu termasuk ketua jabatan kerajaan dan swasta sekitar pulau ini serta kira-kira 30 penduduk Pulau Tuba yang terbabit sebagai pelakon tambahan dalam filem itu.

Rosli Chin, 51, berkata dia dan rakan bertolak dengan bot tambang dari Pulau Tuba jam 3 petang semata-mata mahu menonton filem itu yang tayangannya akan bermula 5.45 petang.

"Ketika pembikinan filem ini saya terbabit dalam beberapa adegan termasuk sebagai pemancing dan memandu bot...jadi nak tonton juga macam mana saya dalam filem.

"Inilah pertama kali saya dan rakan terbabit dalam filem.... mestilah teruja," katanya.

Sufina Halim, 37, yang juga pelakon tambahan memegang watak jururawat dalam filem itu berkata dia juga teruja untuk menonton filem itu selepas terbabit dalam beberapa adegan ketika penggambarannya pada Oktober 2014.

"Saya datang bersama kawan rapat untuk menonton filem ini.... pastinya nak lihat lakonan sendiri," katanya. Filem yang 80 peratus penggambarannya dilakukan di Pulau Tuba di sini ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Langit Cinta lebih istimewa berbanding filem Melayu lain apabila ia muncul filem pertama diadaptasi dari novel oleh penulis Damya Hanna.

Filem terbitan Astro Shaw itu menampilkan barisan pelakon seperti Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan, Normah Damanhuri dan Dian P Ramlee.

Berita Harian X