Jumaat, 8 Januari 2016 | 12:19am

Namchok dahului hari kedua Sabah Masters

PEMAIN Thailand, Namchok Tantipokhakul . - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Pemain Thailand, Namchok Tantipokhakul memiliki kelebihan tiga pukulan apabila mengekalkan kedudukan pendahulu selepas melakukan pukulan satu bawah par 70 pada pusingan kedua Kejohanan Golf Sabah Masters hari ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang berazam mahu menamatkan kemarau gelaran selama dua tahun, membenam tiga birdie pada saingan terakhir untuk mengumpul sejumlah tujuh bawah par 135.

Pada saingan di Kelab Golf & Country Sutera Harbour, Kota Kinabalu, pemain itu menghadapi kesukaran untuk memulakan saingan pada sembilan lubang kedua apabila melakukan pukulan bogey berganda pada lubang ke-13.

Bagaimanapun, beliau berjaya membenam satu birdie pada lubang ke-14 sebelum melakukan bogey pada lubang ke-15.

Namun Namchok berjaya mengawal permainan di sebalik keadaan berangin di lapangan untuk mengutip tiga birdie pada lubang keenam, ketujuh dan kesembilan.

"Saya menghadapi kesukaran pada sembilan lubang pertama berikutan keadaan tiupan angin yang meningkat serta melakukan pukulan putt," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berjaya mengatasi keadaan itu dan yakin kerana mula mendapat rentak untuk memburu kejayaan.

Rakan senegara, Nirun Sae-ueng, yang turut melakarkan pukulan satu bawah par 70, ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu manakala dua pemain Thailand, Rattanon Wannasrichan dan Piya Swangarunporn serta pemain negara Kemarol Baharin terikat di tempat ketiga dengan ketinggalan lima pukulan.

Sejumlah 55 pemain termasuk tiga pemain amatur berjaya melepasi 'cut-off' lapan bawah par 150 untuk melangkah ke dua pusingan terakhir pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$100,000 (RM440,949).

Keputusan Pusingan Kedua:

135 - Namchok Tantipokhakul (THA) 65-70;

138 - Nirun Sae-ung (THA) 68-70;

140 - Rattanon Wannasrichan (THA) 70-70, Piya Swangarunporn (THA) 71-69, Kemarol Baharin (MAS) 71-69;

141 - Casey O'Toole (USA) 70-71;

142 - Pravee Visalkit (THA) 74-68, Lam Yu Shuen (MAS) 77-65, Mitchell Slorach (SIN) 70-72, Khor Kheng Hwai (MAS) 65-77;

143 - Nakarintra Ratanakul (THA) 72-71, Danny Chia (MAS) 72-71, Phachara Khongwatmai (THA) 71-72, Nattapong Putta (THA) 71-72.

- BERNAMA

Berita Harian X