Jumaat, 8 Januari 2016 | 5:08pm

Ekuinas labur RM79.8j dalam PMCare, MediExpress

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) membuat pelaburan sulungnya dalam sektor penjagaan kesihatan menerusi pelaburan bernilai RM79.8 juta dengan dua syarikat penjagaan kesihatan.

Pelaburan itu merangkumi pemerolehan kepentingan 60 peratus ekuiti dalam Kumpulan MediExpress (MediExpress), yang terdiri daripada MediExpress (Malaysia) Sdn Bhd dan Health Connect Sdn Bhd, dan juga 60 peratus ekuiti dalam PMCare Sdn Bhd (PMCare).

Dua syarikat berkenaan adalah penyedia perkhidmatan Pentadbir Tuntutan Perubatan Pihak Ketiga (Third Party Administrators, TPA).

TPA bertindak sebagai penghubung antara pengguna, pembiaya perubatan dan penyedia perkhidmatan kesihatan, dengan memanfaatkan pertumbuhan pasaran penjagaan kesihatan dan insurans kesihatan.

Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pihaknya gembira dengan pelaburan sulung berkenaan menerusi dua penyedia perkhidmatan TPA yang kukuh itu.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata, sektor penjagaan kesihatan adalah salah satu daripada enam sektor sasaran Ekuinas yang dikenal pasti untuk pelaburan.

"Pasaran TPA membentuk subsektor yang pantas berkembang dengan saiz dianggarkan bernilai RM100 juta serta dijangka mencatat pertumbuhan 10 peratus setahun untuk mencecah angka RM156 juta menjelang tahun 2019," katanya.

MediExpress ialah sebuah Organisasi Penjagaan Terurus (MCO) yang mengendalikan TPA untuk syarikat insurans dan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala PMCare ialah penyedia perkhidmatan TPA milik Bumiputera, yang memberi tumpuan kepada segmen pelanggan korporat.

130 dibaca
Berita Harian X