Jumaat, 8 Januari 2016 | 5:57pm

Dr Aini Ideris dilantik Naib Canselor UPM


Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, dilantik Naib Canselor baharu universiti itu, berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2017.     

   

Pelantikan beliau bagi menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan yang tamat kontrak pada 31 Disember tahun lalu selepas mendapat surat pelantikan secara rasmi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sepanjang perkhidmatan di UPM, Dr Aini pernah menjawat pelbagai jawatan penting termasuk Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pada 2008 hingga 2013, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Holdings (2009-2011) dan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah UPM (2001-2008).    

Dr Aini yang mendapat Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari UPM pada 1979, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai tutor di universiti itu.     

   

Beliau kemudian menyambung pengajian Sarjana Sains Veterinar di Universiti Liverpool, England, pada 1981, seterusnya ijazah doktor falsafah di UPM dan Universiti Queensland, Australia (1989).

   

Beliau menghasilkan lebih 400 penerbitan dan sering dijemput sebagai pembentang kertas kerja pada konvensyen peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk persidangan berprestij seperti 10th World Veterinary Poultry Science Congress pada 1993, 4th Asia Pacific Poultry Health Conference pada 1998 dan 21st World's Poultry Congress (2000).  

   

Berkepakaran dalam bidang editorial, Dr Aini juga menganggotai sidang editorial beberapa jurnal tempatan dan antarabangsa termasuk Jurnal Biologi Molekular dan Bioteknologi Asia Pasifik, Jurnal Veterinar Mikrobiologi (Sweden), Jurnal Veterinar Korea serta Jurnal Avian Pathology (United Kingdom).  

     

Dalam badan profesional dalam dan luar negara, beliau pernah memegang jawatan penting antaranya Timbalan Penasihat Persatuan Veterinar untuk Tabung Kebajikan Pendidikan Malaysia, Bendahari Persatuan Sains Ternakan (Ayam/Itik) Dunia - Bahagian Malaysia dan Exco Alumni Veterinar UPM.   

Pencapaian cemerlang Dr Aini dalam bidang veterinar membolehkan beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada 2010 untuk kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dan muncul seorang daripada 10 penyelidik terbaik untuk Anugerah Inovasi Kebangsaan 2012.

Pada 2013, beliau diumumkan antara Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia dan pada tahun sama, Dr Aini diserap menjadi ahli Dewan Kehormat, Persatuan Veterinar Unggas Dunia iaitu pencapaian paling berprestij dalam bidang veterinar unggas sedunia berdasarkan sumbangan dalam penyelidikan saintifik, latihan dan pendidikan kesihatan unggas dan kepemimpinan.

 

239 dibaca
Berita Harian X