Jumaat, 8 Januari 2016 | 6:59pm

Insentif pekebun, nelayan dipertahankan - Ahmad Shabery

KETUA Pegawai Operasi Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman (kanan) bertukar dokumen bersama Pengurus Besar KADA, Mohd Ridzuan Ismail (kiri) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Agrobank dan KADA sambil disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) di ibu pejabat Agrobank. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Operasi Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman (kanan) bertukar dokumen bersama Pengurus Besar KADA, Mohd Ridzuan Ismail (kiri) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara Agrobank dan KADA sambil disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) di ibu pejabat Agrobank. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Insentif bagi pekebun dan nelayan akan dipertahankan sekiranya kerajaan terpaksa membuat semakan semula terhadap Bajet 2016.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata insentif berkenaan akan dipertahankan bagi memastikan golongan petani dan nelayan berpendapatan rendah tidak terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Pemotongan insentif kepada golongan terbabit adalah langkah terakhir kementerian sekiranya terbabit dengan pengubahsuaian Bajet 2016," katanya selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) Agrobank dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini, hari ini.

Agrobank diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, manakala KADA diwakili Pengerusinya, Datuk Alwi Che Ahmad.

Wan Mohd Fadzmi berkata, kerjasama antara Agrobank dan KADA itu adalah usaha memperkasakan sinergi antara agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, pada masa sama kerjasama itu memudahkan operasi agensi berkenaan, sekali gus memantapkan sektor pertanian ke arah hala tuju tepat seperti dirancang kementerian.

"Agrobank yakin perkhidmatan yang ditawarkan mampu memenuhi keperluan kewangan dan perbankan yang diperlukan ahli KADA," katanya.

Agrobank turut memperkenalkan produk takaful istimewa kepada ahli berdaftar KADA di bawah program 'Satu Petani Satu Takaful'.

Dengan harga serendah RM20 setahun, produk takaful itu bakal memberi manfaat yang lengkap kepada pemiliknya.

"Setakat ini, 2,000 ahli KADA telah melanggan skim insurans ini dan kami yakin jumlahnya akan bertambah dari semasa ke semasa, memandangkan harga insurans ditawarkan berpatutan dan sangat bermanfaat," kata Wan Mohd Fadzmi.

Menerusi skim insurans takaful itu, ahli KADA akan dilindungi dengan pelbagai perlindungan antaranya kematian dan hilang upaya sebanyak RM1,000, kematian dan hilang upaya kemalangan (RM5,000), belanja pengebumian untuk kematian biasa dan kemalangan bernilai RM1,000 serta beberapa manfaat istimewa lain.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X