Jumaat, 8 Januari 2016 | 8:03pm
LAMAN sesawang rasmi AJL30 di www.anugerahjuaralagu.com
KUMPULAN Bunkface pada sidang media Anugerah Juara Lagu ke 30 di Hotel Royale Chulan Damansara. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENYANYI, Dayang Nurfaizah pada pelancaran filem Langit Cinta terbitan Astro Shaw di Menara KL. - Foto Munira Abdul Ghani
NASHRUDIN Elias atau lebih dikenali sebagai Nash Lefthanded di Majlis sambutan 20 tahun Wings dalam Industri di Swiss Garden Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Bekas juara, finalis AJL30 hibur peminat di Melaka esok

KUALA LUMPUR: Kemunculan bekas juara Anugerah Juara Lagu (AJL) dan finalis pertandingan itu bagi edisi ke-30, pasti menggamatkan Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka, esok.

Antara bekas juara yang akan membuat penampilan pada Festival AJL30 menerusi konsert bermula jam 9 malam itu ialah Rahmat Mega yang mengungguli acara berkenaan pada 1991 menerusi lagu Takdir dan Waktu, Nash Lefthanded (Pada Syurga Di Wajahmu, AJL 1992) dan ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

Pentas persembahan akan turut dikongsi oleh finalis AJL30 seperti Kaka Azraff, Dayang Nurfaizah, Drama Band dan Bunkface. Acara berkenaan akan dihoskan oleh penyampai terkenal, AG dan Fara Fauzana.

Pelbagai aktiviti dan gerai jualan juga disediakan sepanjang festival yang berlangsung dari jam 2 petang hingga 12 tengah malam itu. Ia termasuk sesi ramah mesra bersama Ronnie Hussein, Tasha Manshahar, Syed Shamim, Azmil Karim, Sarah Fazny dan peserta Projek Muzik Hot FM seperti Monalyssa, SIR dan Masweera.

Penganjuran festival yang mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu adalah bersempena sambutan tiga dekad AJL.

Edisi ke-30 pertandingan berkenaan, yang bertemakan 3 Dekad Mencipta Fenomena, akan berlangsung pada 24 Januari ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pada festival terbabit, sesi rakaman siaran langsung Muzik Muzik Sakan AJL30 bersama pengacara, AG, Ammar dan Isey (Titan) akan turut diadakan. Konsert Festival AJL30 pula akan bersiaran secara langsung di TV3 dan boleh juga ditonton di www.tonton.com.my.

Sementara itu, peminat boleh mengundi lagu yang pernah memenangi AJL dari tahun 1986 hingga 2014 (AJL1 - AJL29) kegemaran masing-masing di laman rasmi www.anugerahjuaralagu.com untuk dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Qu Puteh Diva.

Berita Harian X