Sabtu, 9 Januari 2016 | 12:05am
PREMIS yang menjalankan pusat judi haram.
ANTARA pusat urut yang melanggar syarat lesen.

PBT akan ada kuasa sita, tutup pusat urut


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk menyita dan menutup pusat urut yang melanggar syarat lesen.

Ini kerana, kementerian mendapati wujud kelompangan pada akta itu yang ketika ini sekadar membenarkan PBT mengenakan kompaun sebagai hukuman tertinggi terhadap pusat urut yang melanggar peraturan termasuk menawarkan khidmat seks.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata undang-undang sedia ada perlu diperkukuhkan kerana kelompangan itu begitu ketara yang dilihat menyusahkan PBT untuk bertindak.

"Apa yang berlaku ketika ini, PBT hanya boleh bertindak membatalkan lesen rumah urut yang melakukan kesalahan tetapi jika mereka berdegil dan tetap juga beroperasi tanpa lesen, tiada apa yang mampu dilakukan PBT kecuali terus mengenakan kompaun.

"Pemilik premis yang mampu membayar kompaun akan meneruskan operasi mereka seperti biasa meskipun dikenakan tindakan berulang kali. Jika PBT mempunyai kuasa menyita, ia akan memberi masalah kepada premis urut untuk meneruskan operasi," katanya kepada BH.

Beliau mengulas isu lambakan premis urut yang menawarkan perkhidmatan urutan seks dalam kompleks beli belah di sekitar ibu kota dan keluhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai kuasa terhad bagi menangani masalah itu.

MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kelompangan undang-undang itu diakui selepas BH mendedahkan kegiatan haram pusat urut yang secara berleluasa dan terbuka di sebuah kompleks beli belah dekat Sri Petaling dengan menawarkan gadis seksi warga asing untuk urutan seks selain kegiatan perjudian dalam pusat permainan berkomputer di situ.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan amalan, tindakan PBT yang dipraktikkan ketika ini ialah memberi notis kesalahan dan kompaun jika berlaku pelanggaran syarat lesen, tempoh selama 14 hari untuk pemutihan aktiviti dan sekiranya gagal, lesen boleh dibatalkan.

"Namun, selepas pembatalan lesen, apa lagi mampu dilakukan PBT jika pemilik premis masih meneruskan perniagaan mereka. Nak sita, tidak boleh, apa yang mampu dilakukan hanya laporkan kepada polis dan proses itu akan mengambil masa panjang.

"Masalah ini bukan hanya dihadapi DBKL tetapi semua PBT di seluruh negara kerana dalam undang-undang kecil yang mereka wujudkan, ia berpandukan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976. Berikutan itu, akta terbabit itu perlu dipinda. Beri kementerian sedikit masa untuk selesaikan isu ini.

"Apa yang saya boleh katakan, kami (kementerian) sedar kelemahan itu dan sudah membuat semakan tetapi untuk memindanya, beberapa perkara perlu diperhalusi. Pindaan bukan hanya membabitkan hal itu saja kerana ada beberapa bahagian lain turut akan dipinda," katanya.

PUSAT urut yang menawarkan khidmat seks turut mengundang persepsi negatif kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang bekerja sebagai tukang urut secara sah dan profesional.

Lambakan pusat urut yang menawarkan khidmat seks turut mengundang persepsi negatif kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang bekerja sebagai tukang urut secara sah dan profesional.

Bendahari Pertubuhan Pembangunan Orang Buta (PPOB), Mohammad Huzaifah Ahmad, berkata persepsi negatif itu membuatkan ada pelanggan yang datang ke pusat urut kendalian golongan OKU meminta perkhidmatan urutan seks.

Beliau berkata, tidak kurang juga yang meminta diurut tukang urut wanita, walaupun peraturan ditetapkan PPOB melarang ahlinya mengurut pelanggan berlainan jantina.

"Mereka fikir semua pusat urut menawarkan perkhidmatan tidak bermoral. Ia mengundang persepsi negatif kepada pusat urut yang menawarkan perkhidmatan secara sah seperti kami.

"Ada juga kes yang membabitkan tukang urut OKU dipaksa menjalankan perkhidmatan tidak bermoral oleh majikan. Ini membuatkan ramai tukang urut OKU tidak mahu bekerja di pusat urut selain yang berdaftar dengan PPOB

"Perkara sebegini sedikit sebanyak membuatkan pasaran pekerjaan menjadi terhad dan golongan OKU kurang gemar menjadikan tukang urut sebagai kerjaya," katanya.

Huzaifah yang juga pengusaha pusat urut orang buta, berkata pihak berkuasa perlu memandang serius perkara itu kerana kerjaya sebagai tukang urut adalah antara pekerjaan utama golongan OKU cacat penglihatan di negara ini.

Katanya, PPOB juga menyediakan latihan khusus kepada golongan OKU cacat penglihatan untuk menjadikan urutan sebagai kerjaya mereka.

Jika kewujudan pusat urut seks ini berlarutan, Huzaifah berkata, PPOB khuatir ia akan menjejaskan sumber pendapatan golongan OKU dan paling teruk mereka akan turut terjebak dengan kegiatan tidak bermoral kerana terpaksa dan tiada pilihan lain.

"Tindakan tegas harus dilaksanakan, wajibkan setiap premis urut mengambil pekerja yang mempunyai sijil kemahiran yang disahkan kerajaan. Seperti PPOB mengeluarkan dan mewajibkan setiap tukang urut OKU perlu memiliki sijil kemahiran.

"Lakukan perkara sama dengan pusat urut yang lain. Sekarang ini majoriti tukang urut terdiri daripada pekerja asing dan kebanyakan mereka ini tidak mempunyai asas dalam urutan," katanya.

Berita Harian X