Sabtu, 9 Januari 2016 | 10:03am

Yayasan Eco World sedia RM5j bantu pelajar


LAM Thye beramah mesra dengan pelajar cemerlang sempena Majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan UPSR SAP, di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Yayasan Eco World memperuntukkan dana berjumlah RM5 juta tahun ini bagi melaksana pelbagai program untuk membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Program Bantuan Pelajar Eco World (SAP) misalnya sudah membantu lebih 3,000 pelajar di seluruh negara.

Katanya, bantuan itu bukan saja akan disalurkan kepada pelajar sekolah rendah tetapi meliputi sekolah menengah dan pendidikan tinggi.

"Kami masih mengekalkan peruntukan sebanyak RM5 juta tahun ini bagi melaksanakan program SAP dengan harapan dapat membantu mereka daripada keluarga berpendapatan rendah atau sukar mencapai potensi akademik, selain meningkatkan taraf hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 SAP di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Bhd, Datuk Chang Khim Wah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Datuk Liew Siong Sing.

Pada majlis itu, 43 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah diberikan penghargaan.

Daripada jumlah itu, 13 pelajar meraih Anugerah Paling Cemerlang, 20 mendapat Anugerah Cemerlang, manakala baki 10 menerima Anugerah Prestasi Paling Meningkat. 

Berita Harian X