Isnin, 13 Oktober 2014 | 5:22am

Struktur ekonomi mapan imbangkan kos sara hidup


Dr Zakariah Abdul Rashid (kiri) dan Nizam Mahshar

Majoriti rakyat mengharapkan kerajaan mengumumkan banyak berita gembira ketika pembentangan Bajet 2015 kelmarin, terutama aspek membantu mengurangkan kos sara hidup termasuk isu perumahan, kemudahan asas dan keperluan lain. Beberapa pakar ekonomi pula mencadangkan kerajaan mengurangkan subsidi bagi mengelakkan kebergantungan kepada bantuan dan mencadangkan supaya lebih banyak program menjana ekonomi diperkenalkan.

Ada pula yang bimbang pihak tertentu mengaut untung daripada insentif kerajaan, terutama pemaju perumahan serta peniaga dan mencadangkan agensi pelaksana memantau lebih kerap setiap pelaksanaan dasar dan harga barangan keperluan. Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH, RASHIQAH HILMI dan ALZAHRIN ALIAS mendapatkan pandangan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Nizam Mahshar untuk mengupas isu ini.

Wartawan: Bajet 2015 banyak menumpukan kepada ekonomi keperluan rakyat. Adakah belanjawan ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat?

Dr Zakariah: Kerajaan lebih banyak menyentuh soal keperluan rakyat. Inisiatif yang dilakukan dilihat sedikit sebanyak dapat membantu rakyat golongan pertengahan dan rendah tetapi peratusannya sangat kecil. Ia tidak semestinya membantu mengurangkan kos sara hidup secara keseluruhannya, agak tidak adil jika mahukan bajet ini mengubah 100 peratus struktur kos sara hidup rakyat. Isu kos sara hidup rakyat ini adalah isu utama negara dan perlu dibincangkan di luar ruang lingkup belanjawan negara. Apabila dikaitkan dengan kos sara hidup, umum perlu mengetahui kos sara hidup kita tinggi kerana pendapatan isi rumah rendah. Purata pendapatan isi rumah pada tahun 2012 adalah sebanyak RM5,000 manakala pada tahun ini meningkat menjadi RM5,900. Angka ini masih rendah berbanding negara jiran lain. Bagaimanapun, kedua-dua isu ini tidak boleh dibincangkan secara berasingan.

S: Bagaimana untuk mengatasi masalah kos sara hidup ini?

J: Masalah ini berpunca daripada struktur ekonomi kita yang tidak seimbang menyebabkan jurang perbezaan agak besar. Paling ketara adalah pasaran tenaga buruh yang semakin tenat kerana kemasukan tenaga kerja asing. Ia menjejaskan produktiviti dan menyebabkan upah pendapatan menjadi kecil. Tenaga kerja asing ketika ini seramai lima juta orang atau 30 peratus daripada 14 juta tenaga kerja keseluruhannya. Tenaga kerja asing ini kurang mahir dan dibayar gaji rendah, menyebabkan pendapatan tidak dapat ditingkatkan. Jika ingin tingkatkan pendapatan, isu tenaga kerja asing ini perlu diatasi terlebih dahulu oleh kerajaan. Contoh mudah pekerja asing dibayar RM500 sebulan, ini akan menyebabkan pekerja tempatan juga dibayar dalam lingkungan harga sama. Mahu atau tidak mereka terpaksa menerima bayaran itu. Melalui Program Transformasi Negara (GTP), kerajaan menyatakan keinginan meningkatkan kos komponen GTP kepada 40 peratus pada tahun 2020 berbanding 33.6 peratus ketika ini. Ini bermakna upah pendapatan kita ketika ini hanya 33.6 peratus daripada GTP dan ia sebenarnya masih rendah. Kita tidak boleh meningkatkan kos sara hidup ini secara drastik, ia akan meningkat sedikit demi sedikit secara berterusan tetapi perlu dipertingkatkan produktiviti terlebih dulu. Untuk tingkatkan produktiviti, banyak aspek lain yang perlu ditingkatkan seperti kemudahan teknologi, kualiti kerja dan bahan mentah. Struktur ekonomi itu perlu betul, barulah kos sara hidup dapat diseimbangkan. Paling penting, kita kena ukur baju di badan sendiri. Ramai yang tidak peka mengenai isu ini yang sebenarnya kita mendapat pendapatan dalam nilai Ringgit Malaysia (RM) tetapi berbelanja dalam nilai Dolar Amerika (AS$) terutamanya kepada golongan bandar.

S: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kelak dikatakan tidak membebankan rakyat, tetapi sejauh mana keyakinan itu?

J: Ada beberapa barang yang diumumkan kelmarin mengalami penurunan harga jika GST dilaksanakan dan mungkin ada kebenarannya. Namun ini tidak bermakna harga barang tidak akan meningkat. Peningkatan itu tetap berterusan walaupun dengan pelaksanaan GST. Penurunan mungkin akan berlaku kerana selama ini Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah 10 peratus ditambah dengan enam peratus tetapi GST kali ini adalah sebanyak enam peratus saja. Jangan hanya lihat GST itu secara sendiri, banyak faktor lain yang menyumbang kenaikan harga seperti inflasi semakin meningkat dan dijangka berterusan. Ada baiknya GST itu kerana ia membantu mengurangkan jurang harga barang. Sebagai contoh secawan kopi di kafe mewah dan gerai biasa. Kopi di kafe mewah berharga RM10 secawan tetapi gerai biasa hanya RM1.50. Melalui GST, jurang harga ini dapat dikecilkan dan menjadikan ekonomi kita lebih berkesan.

S: Isu perumahan adalah antara agenda utama kerajaan dalam membantu rakyat. Persoalannya adakah rakyat mampu untuk membeli rumah yang harganya sehingga RM500,000 dengan kos sara hidup yang tinggi?

J: Mengenai harga rumah sehingga RM500,000 itu, adakah golongan muda yang baharu berkahwin mempunyai kewangan mencukupi untuk kos sara hidup. Mungkin tidak cukup kerana masalah perumahan adalah antara faktor utama dalam kos sara hidup. Tetapi apa yang cuba dibawa kerajaan menerusi bajet ini ialah untuk memberikan kemudahan dan menambahkan kemampuan rakyat membeli rumah. Ini langkah yang baik tetapi bukan satu-satunya langkah yang patut dilakukan kerana soal perumahan ini harus ditangani daripada dua aspek iaitu permintaan dan bekalan. Persoalannya ialah sama ada langkah ini memadai atau tidak kerana aspek permintaan dan bekalan memang tidak mencukupi.

Jika ingin mengatasi masalah perumahan, apa yang dibentangkan dalam bajet itu memang tidak mencukupi kerana masalah ini harus disentuh dalam bentuk dasar perumahan yang lebih mapan dan dibincangkan di luar bajet. Contohnya di Singapura, bagaimana mereka mengatasi masalah perumahan. Perancangan teliti merangkumi semua aspek supaya rumah boleh dibina dalam kuantiti yang banyak sehingga menjadi satu lambakan dan memenuhi permintaan, selain disediakan beberapa pakej. Bajet 2015 turut menyentuh mengenai pakej atau skim perumahan ini tetapi harus dibincangkan secara lebih jelas.

S: Bagaimana pula dengan merasionalisasikan subsidi, adakah ia perlu berterusan?

J: Subsidi petrol berpunca daripada kewangan negara yang mengalami defisit yang besar. Defisit subsidi petrol ini sudah menelan sebanyak RM23 bilion. Perkara ini ialah butiran penting dalam perbelanjaan mengurus yang mana ia sudah melebihi jumlah hasil kerajaan Persekutuan dan ini adalah satu keadaan yang sangat tidak memuaskan sama sekali. Antara satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengurangkan perbelanjaan mengurus. Perkara paling penting ialah emolumen (gaji) tetapi subsidi ini juga keperluan utama kerana tahap gaji majoriti rakyat masih rendah. Subsidi itu satu perkara baik, namun jika dikurangkan, ia dapat mengurangkan perbelanjaan mengurus negara. Oleh itu, subsidi ini boleh diteruskan tetapi mesti dikurangkan secara berperingkat. Ini tidak bermaksud subsidi tidak bagus kerana ia baik dalam keadaan tertentu seperti subsidi bahan makanan tertentu, pendidikan dan kesihatan.

Bagaimana pula dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang masih diteruskan dengan peningkatan nilai bantuan?

J: BR1M hanya penyelesaian sementara kerana ia tidak begitu mapan untuk jangka masa panjang. Ia harus dikurangkan selepas kita dapat mengatasi masalah kos sara hidup. Bayangkan, ketika subsidi petrol yang kita nikmati ketika ini yang ditarik sedikit demi sedikit sudah cukup membimbangkan rakyat. Jika BR1M yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, misalnya ditarik pada masa akan datang, ia pasti menyukarkan mereka. Berbanding negara lain, golongan miskin di negara ini kurang daripada 1.7 peratus yang mana golongan miskin tegar lebih rendah. Di negara kita, golongan sasaran adalah mereka yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 sebulan, golongan inilah yang paling banyak dan paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Bagi menggantikan BR1M, kerajaan seharusnya lebih fokus kepada program yang dapat membantu rakyat menjana pendapatan.

Berita Harian X