Sabtu, 9 Januari 2016 | 11:42am

Media penting untuk kukuhkan demokrasi - Sultan Nazrin


SULTAN Nazrin berkenan merasmikan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, media adalah pengungkil atau mekanisme penting yang mempengaruhi arah haluan dunia berdasarkan kebijaksanaan pengamal dan pemilik media.

Titah baginda, media rasmi negara hendaklah menjadi tanda aras yang mengamalkan etika pengolahan berita yang seimbang lagi autentik, berfungsi sebagai penghubung dua hala antara kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan.

"Ia perlu berupaya merentasi dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat dan menjadi mekanisme penting untuk mengukuhkan demokrasi.

"Oleh itu etika pengolahan berita secara bijaksana adalah satu keperluan dan pada setiap masa, kepentingan umum wajib diutamakan dan lebih penting, hendaklah dipastikan, kredibiliti institusi negara dan integriti institusi negara, sama sekali tidak dikompromikan kerana kepentingan jangka pendek," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini sebentar tadi.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sultan Nazrin bertitah, pengolahan berita yang keterlaluan memihak, memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih dan tidak memberi manfaat jika dilakukan secara keterlaluan oleh institusi media rasmi negara dikhuatiri akan memisahkan rakyat dengan kerajaan.

Titah baginda, oleh itu laporan yang menjunjung prinsip kebenaran, keadilan, ketepatan dan kesahihan adalah penentu kepada kredibiliti dan integriti institusi media.

"Fakta yang tepat itu suci sifatnya, murni kandungannya, dan institusi media wajib berpegang kepada prinsip kebenaran yang kudus.

"Petugas pula menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan hati dan iman yang penuh takwa, insaf, bahawa setiap perkataan, setiap perbuatan di dunia ini, akan dinilai oleh Allah pada hari pengadilan nanti," titahnya.

Berita Harian X