Sabtu, 9 Januari 2016 | 6:38pm

LZS nafi beri bantuan persekolahan RM400

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan laporan lembaga itu akan memberi bantuan RM400 kepada ibu bapa yang mempunyai tiga anak yang bersekolah pada tahun ini.

Bantuan yang menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp sejak awal bulan itu tersebar di laman sosial yang digunakan pihak berkuasa zakat di Kedah sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan ibu bapa.

LZS melalui laman sosial rasmi di Facebook berkata, berikutan penyebaran maklumat palsu berkenaan, pihaknya dihujani pelbagai soalan oleh orang ramai bagi mengetahui kesahihan kenyataan itu.  

"Untuk mengelakkan lebih banyak salah faham berlaku, kami segera membuat penafian melalui Facebook pada Khamis lalu.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai bantuan zakat boleh terus merujuk dengan LZS," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Berita Harian X