Ahad, 10 Januari 2016 | 12:40am

Namchok rangkul kejuaraan Golf Sabah Masters

NAMCHOK Tantipokhakul bergambar bersama trofinya selepas memenangi Kejohanan Golf Sabah Masters di Kelab Golf & Country Sutera Harbour di Kota Kinabalu, semalam. - Foto AFP

KOTA KINABALU: Pemain Thailand, Namchok Tantipokhakul mengakhiri kemarau juara selama dua tahun apabila memenangi Kejohanan Golf Sabah Masters di Kelab Golf & Country Sutera Harbour di sini, semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu menunjukkan semangat waja untuk mempertahankan kedudukan pendahulu dengan mencatatkan pukulan par 71 pada pusingan akhir, sekali gus mengumpul catatan tujuh bawah par 277.

Dia mengatasi pencabar terdekat, Casey O'Toole dengan kelebihan dua pukulan untuk merangkul kejuaraan sulung dalam Jelajah Pembangunan Asia (ADT) serta peluang untuk beraksi pada Kejohanan SMBC Terbuka Singapura, akhir bulan ini.

O'Toole dari Amerika Syarikat bangkit pada pusingan penentuan dengan melakarkan tiga bawah par 68 untuk mengutip jumlah 279 pukulan pada kejohanan bernilai US$100,000 (RM442,289).

Kejohanan tersebut diiktiraf bersama oleh ADT dan Persatuan Golf Profesional (PGA) ASEAN.

Tempat ketiga dikongsi bersama oleh dua pemain Thailand, Piya Swangarunporn dan Nirun Sae-eung dengan jumlah catatan 282 pukulan, diikuti rakan senegara, Chanat Sakulpolphaisan dengan 283 pukulan.

Wakil tempatan, Kemarol Baharin muncul pemain terbaik negara dengan menghuni tangga ketujuh dengan jumlah catatan satu di atas par 285.

Sementara itu, Namchok berkata beliau berasa lega selepas sekian lama memburu kejuaraan.

"Pada awal pusingan penentuan, saya sedikit gementar apabila gagal menyudahkan peluang melakukan pukulan putt. Saya tidak rasa pukulan par mampu untuk menang.

"Lebih-lebih lagi, rakan sekelompok (O'Toole dan Nirun) memberi saingan hebat tetapi saya masih utuh di sebalik keadaan tertekan untuk meraih gelaran ini, "katanya.

Kejayaan itu membolehkan Namchok menghuni tangga kedua Order of Merit PGA ASEAN.

KEPUTUSAN AKHIR:

277 - Namchok Tantipokhakul (THA) 65-70-71-71;

279 - Casey O'Toole (USA) 70-71-70-68;

282 - Piya Swangarunporn (THA) 71-69-71-71, Nirun Sae-ueng (THA) 68-70-70-74;

283 - Chanat Sakulpolphaisan (THA) 75-71-68-69;

284 - Antonio Lascuna Jr (PHI) 71-74-69-70;

285 - Kemarol Baharin (MAS) 71-69-71-74;

286 - Phachara Khongwatmai (THA) 71-72-72-71;

287 - Sutijet Kooratanapisan (THA) 76-72-72-67, Jay Bayron (PHI) 71-73-72-71;

288 - Cylde Mondilla (PHI) 78-71-69-70, Lam Yu Shuen (MAS) 77-65-74-72, David Gleeson

(AUS) 73-75-74-66, Mitchell Slorach (SIN) 70-72-74-72, Rufino Bayron (PHI) 74-70-70-74. - BERNAMA

Berita Harian X