Ahad, 10 Januari 2016 | 3:12pm

Sultan Johor puas hati dengan trak Mack

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bergambar bersama trak Mack di hadapan sebuah restoran di Danga Bay, hari ini. - Foto Zain Ahmed
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bergambar bersama trak Mack di hadapan sebuah restoran di Danga Bay, hari ini. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: "Macam bawa (memandu) kereta. Cuma ia besar sahaja," titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika ditanya perasaan baginda memandu trak Mack di bandar raya ini.

Sultan Ibrahim yang julung kali menggunakan trak berkenaan selepas tiba di Johor beberapa hari lalu, memandu kenderaan itu dari Istana Pasir Pelangi ke sebuah restoran di Danga Bay untuk makan tengah hari.

"Saya memang berpuas hati memandu (trak) di sini kerana ini saya yang reka semua reka bentuknya.

"Trak ini akan bersama saya pada Kembara Mahkota Johor akan datang bersama dengan Kelab Trak Johor sekali dan ia sudah dirancang," titah baginda.

Baginda turut bertitah akan meletakkan trak itu di bawah Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene malam ini bagi rakyat Johor melihat dengan lebih dekat, selain berpeluang bergambar dengan kenderaan itu.

"Malam ini, saya akan letakkan (trak) di bawah mahkota (Gerbang Mahkota) untuk rakyat lihat dan boleh bergambar," titah baginda.

Sultan Ibrahim yang tiba di restoran itu kira-kira jam 12 tengah hari, meluangkan masa makan tengah hari lebih sejam sebelum keluar dan beramah mesra dengan rakyat yang mahu bergambar bersama baginda dan trak berkenaan.

Difahamkan, track Mack berkenaan akan diletakkan di bawah Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene bermula jam 7 malam hingga 9 malam ini.

Berita Harian X