Isnin, 11 Januari 2016 | 3:13pm

Melaka wujud Pusat Perdagangan Hang Tuah

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kerajaan Melaka akan mewujudkan kawasan pusat pembangunan bercampur di pusat bandar raya ini dikenali sebagai Pusat Perdagangan Hang Tuah.

Projek pembangunan di kawasan seluas 40 hektar itu merangkumi pusat perdagangan, pendidikan tinggi, perhotelan dan perniagaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata beberapa bangunan komersial di sekitar Jalan Hang Tuah di sini, turut dinaik taraf bagi memenuhi keperluan pembangunan di kawasan itu.

Turut terbabit adalah perkampungan Melayu di Kampung Morten dan Restoran Melayu Melaka.

"Kita mahu pembangunan seimbang dilakukan di negeri ini. Jika sebelum ini ia bertumpu di kawasan penambakan laut tetapi kini beralih ke kawasan darat.

"Ia dimulakan dengan pembinaan bangunan Yayasan Melaka (YM) di Jalan Tun Ali di sini," katanya selepas melakukan majlis pecah tanah bangunan itu, sebentar tadi.

Yang turut hadir, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Pengurus Besar YM, Datuk Zaini Md Nor.

Idris berkata, bangunan YM berharga RM170 juta setinggi 29 tingkat itu merangkumi pusat pentadbiran dan pengurusan YM, hotel bertaraf empat bintang dan ruang niaga.

"Turut disediakan surau dan tempat letak kenderaan berpusat setinggi sembilan tingkat. Bangunan ini akan menjadi mercu tanda baharu pusat bandar raya ini," katanya.

Berita Harian X