Selasa, 12 Januari 2016 | 12:11pm

AirAsia sambung semula penerbangan ke Auckland

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh Kumpulan AirAsia, menyambung semula penerbangan bagi laluan ke Auckland, New Zealand dengan tambang sehala promosi bermula serendah RM499.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail, berkata penerbangan harian ke Auckland dari Kuala Lumpur melalui Gold Coast, Australia dijangka beroperasi bermula 22 Mac ini.

Katanya, destinasi penerbangan itu bakal mengukuhkan sambungan laluan antara Asia, Australia dan Pulau Utara New Zealand.

"New Zealand adalah destinasi bertaraf dunia yang sememangnya istimewa. Kami teruja untuk kembali ke New Zealand.

"Dengan perkhidmatan sambungan ini, ia memberikan penumpang kami dari seluruh Asia ke bandar Auckland. Warga New Zealand juga mempunyai banyak pilihan penerbangan dari Gold Coast, selain akses ke semua destinasi menarik kami.

"Kami yakin dengan tambang kompetitif ini akan menarik lebih ramai penumpang dari rantau ini, mewujudkan permintaan perjalanan yang lebih tinggi dan meningkatkan trafik pelancongan dalam semua sektor," katanya kepada media selepas melancarkan laluan itu di sini, hari ini.

Sambungan laluan itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Dr John Subritzky dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Bagi meraikan pengumuman laluan itu, AirAsia X menawarkan promosi tambang termasuk semua bermula dari RM499 sehala bagi tempat duduk ekonomi atau serendah RM1,499 sehala bagi tempat duduk premium Flatbed dengan empat penerbangan sehari.

Tambang promosi itu boleh ditempah melalui laman web airasia.com atau aplikasi mudah alih mobile.airasia.com bermula 13 hingga 24 Januari bagi tempoh penerbangan dari 22 Mac hingga 5 Februari 2017.

Benyamin berkata, Australia menjadi pasaran utama bagi AirAsia X yang melambangkan komitmennya untuk membangunkan penyambungan penerbangan di rantau ini.

"Kami sangat yakin bahawa laluan ini akan berkembang maju, mengikuti kejayaan yang dicapai daripada laluan Australia kami yang lain," katanya.

Menerusi pengumuman itu, penumpang boleh berkunjung ke Auckland dari Kuala Lumpur dengan transit singkat di Gold Coast.

Visa Australia tidak diperlukan untuk transit itu dan rakyat Malaysia boleh berkunjung ke New Zealand untuk tempoh sehingga tiga bulan tanpa visa.

Penumpang juga boleh menggunakan pilihan penerbangan sambungan untuk penyambungan lancar ke Auckland dari bandar lain dalam rangkaian luas kumpulan AirAsia.

91 dibaca
Berita Harian X