Rabu, 13 Januari 2016 | 1:32pm

UEMSET, Medini Iskandar tubuh syarikat usaha sama

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Edgenta TMS Sdn Bhd (UEMSET) dan Township Management Services Sdn Bhd (TMS) membentuk sebuah syarikat usaha sama yang disasar menjadi pengendali perkhidmatan pengurusan perbandaran holistik pertama di Malaysia.

Syarikat usaha sama yang belum dinamakan itu mempunyai modal berbayar RM5.5 juta, dengan menyaksikan UEMSET memegang 70 peratus kepentingan, manakala TMS yang juga anak syarikat milik penuh Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd menguasai baki 30 peratus lagi pegangan saham.

Penubuhan syarikat usaha sama itu bermatlamat menawarkan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu, khususnya bagi pemilik bangunan dan penduduk di perbandaran Medini serta Iskandar Puteri (sebelum ini Nusajaya).

Pemegang saham UEMSET ialah Edgenta Township Management Services Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Edgenta Bhd (sebelum ini Faber Group Bhd) dan UEM Sunrise Bhd yang masing-masing memiliki 70 dan 30 peratus pegangan dalam UEMSET.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Azmir Merican, berkata syarikat usaha sama itu akan menawarkan perkhidmatan pengurusan infrastruktur, antara segmen perniagaan yang sedang dilaksanakannya namun dalam pasaran berbeza iaitu di kawasan perbandaran.

Selain itu, katanya, penubuhan syarikat usaha sama itu juga membolehkan UEM Edgenta berkembang ke wilayah selatan, iaitu pasaran yang kurang dikendalikan oleh anak syarikat UEM Group Bhd itu pada masa sekarang.

"Perkhidmatan yang ditawarkan itu akan mewujudkan aliran pendapatan bagi syarikat usaha sama berkenaan yang sekali gus memberi manfaat kepada UEM Edgenta dan UEM Sunrise," katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian usaha sama (JVA) antara UEMSET dan TMS di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X