Rabu, 13 Januari 2016 | 6:20pm

Sistem online tingkat jumlah kutipan zakat Kelantan

KOTA BHARU: Sistem pembayaran zakat secara online atau e-zakat menerusi Pusat Mini Kutipan Zakat, meningkatkan kutipan di negeri ini sebanyak RM162 juta tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Serpudin Mohamad, berkata penggunaan kaedah online juga menyaksikan kutipan tahun lalu melebihi sasaran sebanyak RM2 juta.

Katanya, kemudahan sistem secara online iaitu kiosk berkomputer yang ditempatkan di masjid memudahkan pembayar zakat melaksanakan urusan dengan cepat, berbanding kaedah manual yang perlu beratur dan mengisi borang di MAIK.

"Pada tahun 2014, daripada kutipan zakat berjumlah RM144 juta, sejumlah RM24 juta dibayar oleh 18,000 pembayar menerusi online.

"Tahun lalu, daripada jumlah RM162 juta, dianggar RM26 juta adalah bayaran secara online oleh 20,000 pembayar," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat dan Pusat Mini Pungutan Zakat Masjid Muhammadi, Kota Bharu, dekat sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Imam Tua Masjid Muhammadi, Rosli Che Soh.

Serpudin berkata, masjid berkenaan mengutip RM18,000 bayaran zakat melalui sistem online walaupun baru ditempatkan awal bulan lalu.

Sehingga kini, Pusat Mini Pungutan Zakat yang dilaksanakan sejak 2013 ditempatkan di 11 masjid iaitu Masjid Sultan Muhammad III, Pasir Mas; Masjid Sultan Yahya Petra, Machang; Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh; Masjid Ismaili, Tumpat; Masjid Ismail Petra, Tanah Merah; Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang; Masjid Mahmudi, Bachok; Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai; Masjid Sultan Muhammad, Jeli; Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa dan Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Berita Harian X