Rabu, 13 Januari 2016 | 8:26pm

Murid maut motosikal guru bergesel lori sampah

SEORANG murid perempuan berusia 10 tahun maut apabila motosikal guru yang diboncengnya bergesel dengan lori sampah di Persiaran Hamzah Alang, Kapar. - Foto ihsan pembaca

KAPAR: Seorang murid perempuan berusia 10 tahun maut apabila motosikal guru yang diboncengnya bergesel dengan lori sampah di Persiaran Hamzah Alang, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dipercayai baru pulang dari sekolah agama.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan awal mendapati lori sampah itu mengubah laluan secara tiba-tiba sebelum bergesel dengan motosikal yang dibonceng mangsa.

"Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian manakala gurunya yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

"Pemandu lori bersama dua rakannya melarikan diri dan polis giat mengesan semua suspek berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Mohd Yusoff berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Berita Harian X