Khamis, 14 Januari 2016 | 6:15pm

JDT dapat dana tambahan RM50 juta

JOHOR BAHRU: Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat tambahan dana sebanyak RM50 juta lagi menerusi sumbangan terbaharu disalurkan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim menerusi entri terbaharu laman rasmi JOHOR Southern Tigers.

Sebelum ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan RM50 juta selepas gembira melihat sukan bola sepak memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan Bangsa Johor dan mengharumkan nama negeri itu di persada dunia.

Ismail juga menafikan khabar angin yang mendakwa terdapat penaja individu yang ingin memberi tajaan kepada JDT bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M).

"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyuntik dana tambahan sebanyak RM50 juta untuk mengukuhkan lagi kewangan kelab bolasepak JDT. Menjunjung setinggi-tinggi kasih atas kurniaan tersebut.

"Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin terdapat penaja individu yang ingin memberi tajaan kepada kelab bolasepak JDT adalah tidak benar kerana polisi kelab mahukan kerjasama jangkamasa panjang bukannya penaja yang mahukan publisiti," katanya.

Berita Harian X