Jumaat, 15 Januari 2016 | 12:00am
SELEPAS menopaus, umumnya wanita mengeluh kulit kering, bersisik dan mudah gatal
KULIT kering dan mengelupas.

Kulit kering selepas menopaus

SAYA berusia 46 tahun dan sudah menopaus. Berikutan itu, kulit saya kering dan mudah gatal. sudah mencuba banyak produk, tetapi gagal. Keadaan ini menyebabkan kulit bertambah teruk. Bagaimana untuk memastikan kulit saya sentiasa lembap dan nampak berseri.

Marina Mohamad

Klang, Selangor

Selepas menopaus, umumnya wanita mengeluh kulit kering, bersisik dan mudah gatal. Ini disebabkan penurunan hormon wanita yang dikenali sebagai estrogen.

Kadar estrogen yang menurun juga mempengaruhi kulit dengan mengurangkan produksi kolagen, unsur yang berfungsi menjaga kelenturan dan ketebalan kulit dan penting bagi pertumbuhan rambut, tulang serta kuku.

Justeru, kekurangan hormon, kulit mudah menjadi kering, nipis keriput, dan terasa gatal. Kuku pun rapuh dan menguning. Gejaja ini boleh berlaku beberapa bulan atau tahun sebelum menopaus sebenarnya berlaku.

Untuk melindungi kulit daripada merosot akibat kering dan gatal, produk penjagaan kulit yang sesuai akan disyorkan oleh doktor. Produk pencuci muka haruslah tidak mengandungi AHA sebagai bahan aktif. Di samping itu, pelembap yang sesuai untuk melindungi lapisan kulit haruslah disapukan ke bahagian muka dan leher setiap tiga hingga empat jam untuk mengelak kulit menjadi kering yang boleh menyebabkan timbulnya garisan halus atau kedutan.

Juga disyorkan untuk mengunakan krim pelindung sinaran cahaya matahari SPF 50 ke atas. Ini akan menghalang daripada terjadinya pigmentasi pada kulit.

Antara rawatan antipenuan yang boleh disarankan ialah:

1) Rawatan terapi sel stem atau Platelet rich plasma.

Kaedah mengunakan darah pesakit sendiri. Dengan adanya hormon tumbesaran dan cytokines dalam darah, ia akan membantu merangsang pertumbuhan sel kulit. Penyembuhan dan meningkatkan keupayaan sel serta membentuk kolagen matriks, yang menganjalkan kulit dan membantu mengurangkan masalah gatal kulit di sebabkan terlalu kering.

2) Rawatan fillers dan Autologous fat transfer.

Apabila kolagen pada kulit hilang, kulit terutama pada wajah akan kelihatan berkedut dan tidak bermaya. Teknologi filler membolehkan masalah ini diatasi. Filler menjadikan kandungan kulit lembap semula. Kedutan kecil akan dihilangkan oleh filler. Kegunaan filler dalam kes seperti ini adalah lebih kepada melembapkan kulit.

Kaedah autologous fat transfer juga boleh memberi maanfat seiring dengan teknologi filler, di mana lemak sendiri yang mengandungi sel stem akan dimasukkan di bawah kulit, ini akan melembabkan dan memberi keanjalan semula jadi kepada kulit.

Rawatan gantian hormon

Ujian darah akan dilakukan bagi menentukan puan benarbenar sudah menopaus. Aras hormon estrogen dalam darah menurun semasa seseorang wanita menopaus.

Bantuan hormon gantian diperlukan jika masalah kulit juga dikaitkan dengan masalah lain akibat menopaus jika gejala yang dialami agak ketara dan mengganggu kehidupan seharian.

Kebiasaanya, rawatan homon akan diteruskan untuk beberapa tahun, kemudian boleh dikurangkan dan dihentikan secara perlahanlahan.

Gejala menopaus adalah sementara dan akan beransur hilang. Ia mungkin memerlukan tempoh setahun atau dua sebelum gejala ini hilang dengan sendiri tanpa bantuan hormon gantian dan keadaan pesakit stabil. Selain itu, amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta meminum air secukupnya di samping bersenam.

Berita Harian X