Jumaat, 15 Januari 2016 | 12:09am
TOPENG karakter Transformers dan Star Wars turut dijual.
PELBAGAI jenis koleksi dipamerkan untuk dijual demi isteri tersayang.
ANTARA koleksi lego watak filem Star Wars yang ditawarkan untuk jualan oleh Mohamad Shahril
MOHAMAD Shahril Sabarin sibuk melayan pelanggan yang datang ke gerainya untuk melihat dan Lego serta mainan yang ditawarkan.

Korbankan koleksi mainan lego demi ubati kanser isteri

KUALA LUMPUR: Hobi menyimpan lego sebagai koleksi peribadi sejak lima tahun lalu, kini membantu seorang peminat mainan itu menambah pendapatan demi membiayai rawatan isterinya yang sedang menghidap kanser.

Segala-galanya berubah kira-kira lapan bulan lalu, apabila Mohamad Shahril Sabarin, 31, menempuh ujian berat dengan khabar isterinya, Noor Azra Kamaruddin, 30, yang baru dua minggu dikahwini disahkan mengidap barah kelenjar.

"Mula-mula saya tak mahu isteri menjalani rawatan kemoterapi, sebaliknya mencuba rawatan alternatif terlebih dulu.


MOHAMAD Shahril Sabarin berkorban apa saja demi melihat isterinya, Noor Azra Kamaruddin, yang mengidap barah kelenjar kembali sihat.

"Bagaimanapun sekitar Julai tahun lalu, isteri disahkan mengandung dua bulan sebelum dinasihatkan pakar perubatan supaya tidak meneruskan kandungan kerana kanser akan cepat membiak.

"Saya terpaksa pujuk isteri menggugurkan kandungan sebelum menjalani rawatan kemoterapi seminggu kemudian. Kami ada insurans tapi tidak cukup. Kos rawatan kemoterapi saja RM6,000 setiap sesi dan perlu dijalani dua kali sebulan," katanya.

Shahril yang lebih dikenali sebagai Victor Engku Shah dalam kalangan pengumpul lego dan bricks di laman sosial Facebook, berkata pembiayaan insurans yang tidak mencukupi menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).

"Dalam usaha mengumpul dana untuk perubatan isteri, saya akhirnya nekad menjual koleksi mainan dan lego kesayangan yang dikumpul selama ini," katanya yang sejak itu menjadikan aktiviti jualan lego dan bricks, termasuk koleksi Star Wars, secara atas talian dan luar talian sebagai sumber pendapatan kedua.


ANTARA koleksi lego watak daripada filem sci-fiksyen Star Wars yang ditawarkan untuk jualan.

Usahanya menarik minat ramai rakan pengumpul lego dan bricks, terutama dari Legions of Bricks Keeper (LBK) Malaysia yang tampil memberi sokongan kepada Shahril sambil mencari koleksi terkini lego dan bricks dari gerainya yang kini beroperasi di "fleamarket" Amcorp Mall pada setiap Ahad mulai jam 10 pagi hingga 5 petang.

"Syukur hobi ini dapat membantu membiayai sebahagian kos perubatan isteri. Rakan-rakan dan kenalan dari LBK dan Lego Fans Malaysia banyak membantu kami dengan koleksi mereka yang "luar biasa" yang pernah dijadikan bahan lelongan tertinggi.

"Saya bersyukur kerana rakan-rakan tanpa mengira bangsa, umur dan pangkat, membantu saya dalam mengumpul dana demi rawatan isteri tersayang," katanya.

Shahril berkata, hobi mengumpul mainan, termasuk lego dan bricks, ternyata bukan perbuatan sia-sia apabila koleksi yang dikumpul sejak bertahun-tahun itu, semakin meningkat nilai dan boleh dijual semula pada harga tinggi di saat memerlukan.


Sebahagian daripada peminat dan pembeli set lego serta mainan yang berkunjung ke gerai milik Shahril di Amcorp Mall Petaling Jaya yang dibuka setiap Ahad.

"Hobi ini bukan sekadar (mengumpul) lego, coke dan duit lama. Saya bekerja dalam bidang bidang kewangan, kadang-kadang pening dan tertekan. Bila balik rumah dan melihat koleksi lego serta mainan yang dikumpul selama ini, ia menghilangkan tekanan yang dirasai," katanya.

Shahril bersyukur kerana kesihatan isterinya semakin baik tetapi beliau meneruskan usaha jualan lego dan mainan itu kerana memerlukan kewangan untuk rawatan susulan isterinya.

Katanya, beliau turut mencukur rambutnya sebagai bukti kasih sayang dan sokongan kepada isterinya sepanjang penderitaan penyakit itu.


ANTARA koleksi Lego pesawat X-Wing filem Star Wars yang turut dijual

"Bagi saya, dalam menempuh situasi ini kita perlu bersabar dan mengingati yang sakit itu adalah penghapus dosa dan tanda tuhan sayangkan kita. Kalau tuhan tak sayang, DIA tak uji kita," katanya yang reda dengan ujian yang sedang ditempuh bersama isterinya itu.

Peminat lego yang mahu mendapatkan koleksi pelbagai jenis lego sambil memberi sokongan kepada pasangan suami isteri terbabit boleh mengunjungi gerai Shahril yang di Tingkat 2 Amcorp Mall, bersebelahan kedai mainan Ultimate Toys pada setiap Ahad.

66 dibaca
Berita Harian X