Jumaat, 15 Januari 2016 | 10:36pm
KETUA Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Guna drone kesan pembalak haram

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menggesa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memanfaatkan teknologi terkini dalam usaha memerangi pembalakan haram di negeri itu. 

Beliau berkata, penggunaan drone yang senyap dan bersaiz kecil antara teknologi terbaik untuk mengesan sebarang kegiatan mencurigakan dalam hutan. 

"Walaupun usaha yang kita laksanakan selama ini berjaya mengurangkan kegiatan pembalakan haram sehingga banyak kilang papan sudah ditutup, tidak bermakna kita sudah mampu berpuas hati.

"Manfaatkanlah teknologi yang ada terutamanya drone yang saya percaya lebih efektif untuk memastikan kegiatan pembalakan haram dihentikan secara total," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Meraikan Sambutan Ulangtahun Sedekad Sarawak Information System (SAINS), di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SAINS, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Datuk Teo Tien Hiong dan Pengarah JHS, Sapuan Ahmad.

Adenan berkata, penggunaan drone sudah terbukti berkesan dalam pelbagai tugas penting termasuk peperangan.

"Jadi, manfaatkan sepenuhnya teknologi itu untuk kita perangi balak haram pula," katanya.

Berita Harian X