Sabtu, 16 Januari 2016 | 12:05am
Banyak pusat kesihatan yang menawarkan prosedur LASIK ketika ini.

Pembedahan LASIK bantu tingkatkan penglihatan


PEMBEDAHAN LASIK bagi membentuk semula kornea mata bagi yang menyerupai fungsi cermin mata. - Foto hiasan

PEMBEDAHAN mata 'Laserassisted in-situ keratomileusis' atau lebih dikenali sebagai LASIK adalah prosedur membetulkan semula beberapa masalah penglihatan dan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan cermin mata atau kanta lekap.

Prosedur LASIK adalah sejenis pembedahan refraktif yang biasa dilakukan. Pembedahan refraktif mengubah bentuk kornea yang berbentuk separa bulat pada bahagian hadapan mata.

Secara ringkasnya, LASIK adalah prosedur yang mana kornea mata dibentuk semula bagi menyerupai fungsi cermin mata.

Prosedur ini bagi membolehkan imej objek yang dilihat dipancarkan tepat ke retina dan imej jelas terbentuk. Di negara ini, ada banyak pusat kesihatan yang menawarkan pakej LASIK.

Ada prosedur membabitkan penggunaan pisau khas dan ada juga yang menawarkan teknologi terkini dengan menggunakan laser yang membolehkan pembetulan mata dibuat dengan tepat tanpa menggunakan pisau.

Prosedur LASIK bertujuan mendapatkan penglihatan lebih jelas dan tajam. LASIK boleh dilakukan untuk merawat masalah rabun jauh dan silau.

Prosedur LASIK

Kebiasaannya, prosedur LASIK mengambil masa sekitar 15 minit hingga 20 minit untuk sepasang mata.

Sebaik saja prosedur selesai, pesakit boleh mendapat semula 70 peratus penglihatan mereka dan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Prosedur LASIK dilakukan dalam tiga peringkat iaitu:

1. Membabitkan pembentukan flap kornea yang nipis bagi menampakkan tisu yang akan dibentuk. Dua kaedah utama yang digunakan dalam pembentukan flap kornea ialah mikrokeratom dengan pisau atau laser femtosecond.

2. Pembentukan semula kornea akan dilakukan dan mengambil masa sekitar dua hingga lima minit untuk sebelah mata.

3. Menutup semula flap kornea yang sudah dibentuk pada langkah pertama.

Kebiasaannya tidak membabitkan sebarang jahitan kerana gam pelekat akan digunakan untuk memastikannya melekat.

Risiko LASIK

Secara keseluruhannya, LASIK disifatkan sebagai kaedah yang selamat. Bagaimanapun, LASIK tetap mempunyai risiko tersendiri walaupun pada peratusan yang amat kecil. Komplikasi sangat jarang iaitu lebih kurang satu peratus saja.

Komplikasi yang sering berlaku ialah mata kering yang juga bersifat sementara.

Sejak setahun kebelakangan ini, kadar risiko amat kecil setelah terdapat kaedah LASIK tanpa pisau. Setakat ini, tiada laporan komplikasi dari serata dunia.

Sebelum LASIK, pesakit akan menjalani pemeriksaan menyeluruh yang mana kesihatan mata ditentukan dan ketebalan kornea dan darjah kerabunan akan diperiksa bagi menentukan kesesuaian LASIK.

Terdapat pesakit yang dikesan mempunyai masalah mata lain dan mungkin kurang sesuai menjalani LASIK, tetapi rawatan khusus dapat diberi di samping beberapa alternatif lain.

Prosedur LASIK

Langkah 1

Kornea sebelum dipotong

Langkah 2

Pakar bedah menghasilkan ukuran flap kornea iaitu lapisan nipis di permukaan kornea dan diterbalikkan seperti lapisan buku. Terdapat dua kaedah memotong flap iaitu menggunakan teknik microkeratome atau femtosecond.

Langkah 3

Setelah flap kornea dipotong dan dibuka, sinar laser akan digunakan untuk membuang tisu dari pusat kornea untuk membentuk ia semula bagi membetulkan kesilapan refraktif pesakit.

Langkah 4

Apabila kornea dibentuk semula, ia mampu memfokus cahaya ke dalam mata dan retina sekali gus menghasilkan penglihatan yang jelas.

INFO

Panduan sebelum prosedur LASIK

  • Basuh rambut dan muka sebelum menjalani prosedur.
  • Jika pakai kanta lekap, ditanggalkan 10 hari sebelum prosedur dilakukan. Pesakit tidak dibenarkan memakai kanta lekap sepanjang tempoh berkenaan.
  • Datang awal ke pusat rawatan bagi membolehkan pesakit bertenang dan mendapatkan gambaran jelas berhubung prosedur LASIK.

Panduan selepas prosedur LASIK

  • Pesakit tidak boleh memakai alat solek selama seminggu.
  • Tidak boleh melakukan sebarang sukan air untuk tempoh sebulan.
  • Pesakit perlu sentiasa menitikkan ubat mata yang diberikan dan menghabiskan dos antibiotik yang diberikan.
  • Tidak boleh menggosok mata.
  • Tidak boleh memandu kereta pada hari prosedur dilakukan.
  • Pakai cermin mata gelap untuk mengelakkan cahaya terlalu terang.
  • Tidak boleh basuh rambut dan muka bagi mengelakkan air masuk ke dalam mata.

Bilakah seseorang yang menjalani LASIK boleh mula bekerja?

Selepas 24 jam, pesakit sudah boleh bekerja tetapi harus meletakkan ubat ke dalam mata sekurang-kurangnya selama satu minggu.

Pemeriksaan susulan selepas LASIK

Pesakit harus menjalani pemeriksaan dalam tempoh seminggu, sebulan, tiga bulan, enam bulan dan setahun selepas menjalani LASIK bagi memantau perkembangan mata dan tahap penglihatan.

Berita Harian X