Sabtu, 16 Januari 2016 | 6:27pm

Operasi buru penyerang di hotel kedua Burkina Faso

SERANGAN di Hotel Splendid di ibu kota Burkina Faso, Ouagadougou, hari ini. - Foto Reuters

OUAGADOUGOU: Pasukan keselamatan menamatkan rampasan oleh pejuang Al-Qaeda di sebuah hotel di ibu kota Burkina Faso di sini, hari ini, membunuh tiga lelaki bersenjata dan membebaskan 126 tebusan, kata Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Simon Compaore.

Sekurang-kurangnya 22 orang dipercayai terbunuh dalam serangan di Hotel Splendid di sini, yang bermula lewat semalam.

Al Qaeda in the Islamic Maghreb (AQIM) mengaku bertanggungjawab dalam serbuan itu.

Compaore berkata, operasi masih diteruskan di sebuah hotel kedua terletak berhampiran, Hotel Yibi dan pasukan keselamatan cuba mengenal pasti jika sesetengah penyerang bersembunyi di sana.

"Operasi di Hotel Splendid dan Restaurant Cappuccino yang terletak berhampiran sudah tamat. 126 tebusan dibebaskan, antaranya 33 cedera.

"Tiga penyerang dibunuh, seorang bangsa Arab dan dua lagi rakyat Afrika berkulit hitam," katanya.

Sementara itu, Presiden Burkina Faso, Roch Marc Christian Kabore hari ini melawat hotel di mana 22 orang terbunuh dalam serangan lelaki bersenjata beberapa jam sebelumnya.

Tiada ulasan dibuat berhubung serangan itu daripada Kabore, yang baharu saja mengambil alih kepimpinan bulan lalu dan dijangka cuba melakukan pembaharuan ke atas tentera di negara itu yang memiliki sejarah dicemari rampasan kuasa. -AFP/Reuters

Berita Harian X