Ahad, 17 Januari 2016 | 1:22am

Lelaki jatuh sungai ketika memancing dikhuatiri lemas

ALOR SETAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai ketika memancing di Sungai Bata, Jitra jam 1 petang semalam.

Lelaki berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Mohd Sobri Ghazali itu dikatakan menghidap sawan.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Jitra, Suffian Hassan, berkata pihaknya sudah memulakan operasi mencari dan menyelamat namun hingga kini belum menemui sebarang petunjuk.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu dilihat oleh orang ramai sedang memancing di kawasan belakang restoran Desa Permai Taman Mahsuri, Jitra sebelum dipercayai terjatuh ke sungai.

Katanya, keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 6.45 petang selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah.

"Operasi mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak polis dan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam)," katanya di sini.

Berita Harian X