Selasa, 19 Januari 2016 | 1:09am

Kawalan keselamatan di Burkina Faso dipertingkat

ASKAR mengawal di hadapan Hotel Splendid di Ouagadougou, Burkina Faso. - Foto Reuters

OUAGADOUGOU: Kawalan keselamatan di seluruh ibu kota Burkina Faso, dipertingkatkan ketika premis perniagaan dan bank dibuka selepas serangan minggu lalu, yang menyebabkan 32 maut.

Negara Afrika Barat itu juga mengumumkan satu usaha bersama dengan Mali dalam perjuangan menentang militan di rantau itu.

"Tolong periksa beg saya. Kami mahu dilindungi dan tiada cara untuk menolak," kata Fati Doussa, yang mengunjungi bank untuk mengeluarkan wang. Pengesan logam diletakkan di bank terbabit.

"Kami tahu ia akan berbeza bermula sekarang," kata Ousmane Sawadogo, seorang penjual telefon bimbit di lokasi 200 meter dari Hotel Splendid, tempat serangan itu berlaku.

Serangan itu, yang bermula malam Jumaat lalu, adalah yang pertama seumpamanya di Burkina Faso.

Di tempat kejadian, pakar forensik dan penyiasat tempatan dan Perancis, berpakaian putih, memenuhi jalan berhabuk hari ini, mengumpul bukti di kawasan terkepung berhampiran Cappucino Cafe dan Splendid Hotel. - AP

Berita Harian X