Selasa, 19 Januari 2016 | 10:52am
TIMBALAN Pendakwa Raya, Kamalia (kanan) dipeluk rakannya ketika hadir di Mahkamah Sesyen Tawau pagi tadi. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Timbalan Pendakwa Raya dituduh rasuah

TAWAU: Seorang Timbalan Pendakwa Raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini, atas dua pertuduhan rasuah iaitu meminta dan menerima suapan, masing-masing membabitkan nilai RM50,000 dan RM40,000 daripada dua individu.

Ia sebagai dorongan untuk menarik balik kes yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau pada tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Kamalia Yahdi, 33, yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Cawangan Tawau, didakwa meminta suapan wang tunai RM50,000 daripada Shang Yee Chew dan Chang Fui Hsia sebagai dorongan menarik balik kes TWU-83-54/3-2015 dan TWU-8376/4/2015 yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di [email protected] Hotel Promenade Tawau, kira-kira jam 5 petang, 15 Mei tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan kedua, Kamalia didakwa menerima wang suapan RM40,000 daripada Yee Chew dan Fui Hsia sebagai dorongan menarik balik kes TWU-83-54/3-2015 dan TWU-8376/4/2015 yang dibicarakan di Mahkamah Majistret Tawau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di [email protected] Hotel Promenade Tawau pada jam 9 malam, 20 Mei tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sementara itu, seorang individu yang mewakili Kamalia atau perantara untuk meminta dan menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Yee Chew turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya, kedua-duanya mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta SPRM 2016.

Tertuduh, Chang Voon Kiat, 45, dalam pertuduhan pertama terhadapnya didakwa secara rasuah meminta bagi pihak Kamalia suapan wang tunai RM40,000 daripada Yee Chew di Kuhara Court Apartment Tawau, jam 2.10 petang, 20 Mei tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Voon Kiat didakwa menerima bagi pihak Kamalia suapan wang tunai RM40,000 daripada Yee Chew di [email protected] Hotel Promenade Tawau, pada jam 10 malam, 20 Mei tahun lalu.

Kedua-dua pertuduhan terhadap Voon Kiat membabitkan hukuman mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Dean Wayne Daly membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 19 Februari depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol dan Pegawai Pendakwa SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X